30 anggota Hazmat bantu proses nyah cemar

Proses nyah cemar dilakukan Hazmat JBPM Perak di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya di sini hari ini.
Proses nyah cemar dilakukan Hazmat JBPM Perak di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menggerakkan 30 anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bagi melakukan proses nyah cemar di kawasan tumpuan awam khususnya di daerah Hilir Perak dan Kinta.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, proses sanitasi dan nyah cemar itu dilakukan bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Perak yang telah dimulakan sejak 27 Mac lalu.

Beliau berkata, bermula dengan kawasan surau dan masjid, proses tersebut kini diperluaskan ke kawasan tumpuan awam yang lain seperti hentian bas, mesin pengeluaran wang (ATM), pasar awam dan sebagainya.

"Fokus proses ini diberikan kepada dua kawasan iaitu daerah Hilir Perak dan Kinta kerana merupakan hotspot. Kita telah susun jadual sehingga 14 April untuk melakukan proses nyah cemar ini di lokasi kepentingan awam.

"Bagaimanapun kawasan lain yang dirasakan boleh menimbulkan bahaya kepada masyarakat untuk dibuat proses ini, mereka boleh menghubungi JBPM Perak," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan proses sanitasi dan nyah cemar di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya di sini hari ini.

Mengenai program nyah cemar di Mydin, pihaknya membuat kerja sanitasi ke atas troli pasar raya tersebut selain memberikan pendidikan kepada pihak pengurusan untuk melakukan proses tersebut.

Sementara itu, Pengurus Wilayah Zon Utara Mydin Mohamed Holding, Vishnu Varthana berkata, proses sanitasi dan nyah cemar dilakukan JBPM Perak itu sebagai usaha tambahan sedia ada yang dilakukan pihak pasar raya.

Katanya, pihak pengurusan pasar raya sentiasa melakukan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan orang ramai yang berkunjung ke premis mereka selamat.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau memberi jaminan semua bekalan keperluan harian di pasar raya itu mencukupi dan mengharapkan orang ramai tidak bimbang dalam berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.