Jururawat tidak sengaja terpotong ibu jari bayi

Seorang jururawat secara tidak sengaja memotong ibu jari seorang bayi di Indore, India. - Foto: newskartanaka
Seorang jururawat secara tidak sengaja memotong ibu jari seorang bayi di Indore, India. - Foto: newskartanaka
A
A
A

INDORE – Seorang jururawat secara tidak sengaja telah memotong ibu jari seorang bayi ketika membuka peralatan rawatan titisan intravena (IV) di sebuah hospital di India pada 24 Disember lalu.

Menurut laporan NDTV, mangsa yang dirawat akibat radang paru-paru (pneumonia) ditempatkan di sebuah wad di Hospital Kerajaan Maharaja Yashwantrao (MYH) di negeri Madhya Pradesh sebelum insiden itu berlaku.

Menurut ibu mangsa, Anjubai, beliau mengesan tangan anak lelakinya yang berusia satu bulan setengah itu membengkak sebelum jururawat dipanggil untuk memeriksa keadaannya.

Ketika kejadian, jururawat terbabit cuba menanggalkan pita pelekat pada tiub yang terpasang di tangan bayi dengan menggunakan gunting sebelum secara tidak sengaja memotong ibu jari bayi berkenaan.

Insiden itu mencetuskan panik dalam kalangan waris dan kakitangan perubatan sebelum bayi dirujuk ke hospital pakar dengan segera bagi menjalani pembedahan kecemasan.

Pasukan pakar bedah plastik dilaporkan berjaya menyambung semula jari yang terputus dan keadaan bayi kini stabil namun masih dipantau rapi.

Susulan kejadian itu, newskarnataka melaporkan pihak pentadbiran hospital telah memulakan tindakan tatatertib, iaitu jururawat terlibat telah digantung tugas, manakala gaji tiga jururawat lain yang turut bertugas ketika itu ditahan selama satu bulan.

Dekan Kolej Perubatan, Dr Arvind Ghanghoria mengesahkan insiden tersebut dan memaklumkan bahawa sebuah jawatankuasa siasatan telah dibentuk serta diarahkan menyerahkan laporan dalam tempoh 24 jam bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurutnya, bayi berkenaan, yang sebelum ini bergantung pada ventilator akibat pneumonia, kini berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan bahawa tindakan lanjut akan diambil selepas laporan siasatan jabatan diserahkan.

Ringkasan AI

  • Seorang jururawat secara tidak sengaja memotong ibu jari bayi ketika membuka peralatan IV di India
  • Bayi tersebut dirawat akibat radang paru-paru di Hospital Kerajaan Maharaja Yashwantrao
  • Ibu jari bayi berjaya disambung semula oleh pasukan pakar bedah plastik dan keadaannya stabil
  • Jururawat terlibat digantung tugas dan gaji tiga jururawat lain ditahan selama satu bulan
  • Jawatankuasa siasatan dibentuk untuk mengenal pasti punca kejadian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!