PBAPP tutup kawasan rekreasi awam sehingga PKP tamat

Jaseni
Jaseni
A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) melanjutkan penutupan kawasan rekreasi awam dan pemberhentian sementara perkhidmatan bukan kritikal sehingga 14 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya mematuhi sepenuhnya arahan kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memastikan penjarakan sosial yang selamat di Pulau Pinang.

Menurutnya, Empangan Air Itam, Taman Rekreasi Bukit Dumbar dan Empangan Teluk Bahang akan terus ditutup kepada orang awam.

"Selain kawasan rekreasi di bawah pengurusan PBAPP itu, sembilan pusat khidmat pelanggan PBAPP juga akan terus ditutup, tiada bacaan meter, tiada pengapitan meter atau pemotongan bekalan air dan tiada pemprosesan permohonan bekalan air baharu.

"Pengguna air Pulau Pinang boleh membayar bil air mereka secara online menerusi beberapa saluran iaitu aplikasi myPBA, JOMPAY atau bayaran tunai melalui Pos Malaysia, kiosk Paylink, ATM dan agensi kutipan yang dilantik seperti Happy Mart," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, bekalan air harian di Pulau Pinang tidak akan terjejas oleh langkah-langkah menangani keselamatan awam tersebut.

"PBAPP akan terus memberi tumpuan kepada operasi bekalan air kritikal yang akan beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu.

"Operasi kritikal itu merangkumi abstraksi air mentah; rawatan air; agihan air kepada 631,250 pengguna; kerja pembaikan paip; penyambungan semula bekalan air dan operasi pusat panggilan," katanya.

Artikel Berkaitan: