Prabowo bertemu ibu bapa Affan, ikrar tegakkan keadilan

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berikrar untuk menegakkan keadilan berhubung kematian penunggang e-hailing, Affan Kurniawan yang dirempuh kenderaan taktikal polis Brimob ketika demonstrasi melanda ibu kota pada Khamis.
Prabowo turut menyampaikan ucapan takziah kepada kedua ibu bapa mangsa ketika berkunjung ke rumah keluarganya di Menteng, Jakarta Tengah pada Jumaat.
“Takziah daripada saya. Semoga keluarga anda tabah,” katanya kepada bapa Affan, yang disambut dengan ungkapan, “Kami percayakan tuan Presiden.”
Bekas jeneral itu turut menzahirkan rasa kesal terhadap tragedi tersebut ketika berbicara dengan ibu mangsa.
“Kami tidak menyangka tuan Presiden akan melawat kami,” kata bapa Affan dalam nada sebak.
Keluarga mangsa berharap siasatan menyeluruh dan telus dijalankan terhadap kes itu.
“Kami juga mahu menuntut keadilan walaupun sudah tertulis nasibnya begini,” kata salah seorang ahli keluarga tersebut.
Prabowo memberi jaminan bahawa hal tersebut akan diuruskan dengan segera.
Pemimpin itu tiba di rumah pengebumian pada jam 9.50 malam (waktu tempatan) dan diiringi oleh Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi, serta Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya.
Prabowo bagaimanapun tidak bertemu petugas media dan segera meninggalkan lokasi tersebut.
Berhubung tindakan tegas ke atas anggota polis yang terlibat, Prabowo menyatakan rasa kecewa terhadap tindakan melampaui batas mereka.
“Saya terkejut dan kesal dengan tindakan kekerasan tersebut. Saya sudah arahkan siasatan dan anggota yang terlibat akan dipertanggungjawabkan,” tegasnya menerusi video yang dikongsi di akaun Sekretariat Presiden di YouTube.
Insiden rempuhan yang dipercayai disengajakan itu mencetuskan gelombang protes di seluruh negara, menyaksikan ibu pejabat polis dan bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) di beberapa kota menjadi sasaran ‘amukan’ penunjuk perasaan. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

