Peletakan jawatan Pengerusi PN dianggap belum sah - Sanusi

Muhammad Sanusi mengatakan peletakan jawatan Muhyiddin hanya sah selepas dibincangkan dan diterima dalam mesyuarat rasmi PN.
Muhammad Sanusi mengatakan peletakan jawatan Muhyiddin hanya sah selepas dibincangkan dan diterima dalam mesyuarat rasmi PN.
A
A
A

ALOR SETAR - Peletakan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum dimuktamadkan kerana perkara itu belum diputuskan dalam mesyuarat rasmi gabungan berkenaan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berdasarkan perlembagaan PN, sebarang peletakan jawatan hanya sah selepas dibincangkan dan diterima dalam mesyuarat rasmi.

“Walaupun sudah diumumkan dan surat peletakan jawatan dihantar, namun dari segi perlembagaan PN, ia mesti diputuskan dalam mesyuarat.

"Jadi secara rasmi, peletakan jawatan itu belum sah,” katanya kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah 2026 di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi pelantikan Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN baharu.

Spekulasi itu timbul susulan pertemuan antara Ahmad Samsuri dan Muhyiddin yang dimuat naik di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan bahawa isu pelantikan tersebut masih belum sesuai dibicarakan selagi peletakan jawatan tersebut tidak disahkan secara rasmi.

“Perlu dibawa dalam mesyuarat dan diterima oleh mesyuarat barulah peletakan itu sah.

"Jika mesyuarat membuat keputusan sebaliknya, maka jawatan itu kekal walaupun sudah diumumkan kepada umum,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mesyuarat bagi memuktamadkan perkara itu dijangka diadakan dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Susulan itu, beberapa pemimpin PN lain turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing, termasuk Datuk Seri Azmin Ali (Pengerusi PN Selangor), Datuk Seri Sahruddin Jamal (Pengerusi PN Johor) dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak).

Peletakan jawatan tersebut dikaitkan dengan ketegangan dalaman antara parti komponen PN, khususnya antara Bersatu dan Pas, yang didakwa berpunca daripada pergolakan politik di Perlis.

Ringkasan AI

  • Peletakan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin belum dimuktamadkan
  • Peletakan jawatan hanya sah selepas dibincangkan dan diterima dalam mesyuarat rasmi PN
  • Muhammad Sanusi Md Nor mengatakan secara perlembagaan, peletakan jawatan itu belum sah
  • Isu pelantikan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN baharu masih belum sesuai dibicarakan
  • Mesyuarat bagi memuktamadkan perkara itu dijangka diadakan dalam tempoh tidak sampai seminggu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!