Abdul Hadi dijangka dilantik Pengerusi PN

KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan melihat kemungkinan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa hari ini.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, perkara itu berasas memandangkan hanya Pas dan Bersatu merupakan parti besar dalam gabungan berkenaan.
“Dalam PN hanya mempunyai dua parti besar iaitu Bersatu dan Pas berbanding parti lain, jadi logiknya Pengerusi PN mungkin dari Pas.

“Ikutkan Perlembagaan PN, mereka yang mengetuai PN adalah ketua parti masing-masing dan jika Pas yang mengetuai PN nanti, sudah tentulah Tan Sri Abdul Hadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut ketibaan pelancong di pintu masuk sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini pada Khamis.

Kamarudin yang juga Timbalan Pengerusi PN Kelantan berkata, sebelum ini Muhyiddin sendiri pernah menawarkan jawatan Pengerusi PN kepada Abdul Hadi, namun pelawaan itu ditolak.
Mengulas mengenai proses pelantikan, beliau berkata, keputusan berkaitan jawatan Pengerusi PN dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas perbincangan dibuat.
“Kami di Bersatu tidak ada masalah sekiranya Pengerusi PN yang dilantik nanti adalah dari Pas,” katanya.
Muhyiddin yang menerajui PN bermula 7 Ogos 2020 secara rasmi melepaskan jawatan sebagai Pengerusi gabungan itu selepas lima tahun menerajui gabungan berkenaan.
Ringkasan AI
- Bersatu Kelantan melihat kemungkinan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional
- Hanya Pas dan Bersatu merupakan parti besar dalam gabungan Perikatan Nasional
- Semua ketua parti dalam PN secara logik mungkin memegang jawatan Pengerusi jika dari parti mereka, mengikut Perlembagaan PN
- Muhyiddin telah menawarkan jawatan Pengerusi PN kepada Abdul Hadi sebelum ini tetapi ditolak
- Keputusan pelantikan Pengerusi PN dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

