Tangisan murid 8 tahun cerminan adab, kasih kepada guru

Aaryan Fayyadh tidak dapat menahan sebak ketika berjumpa gurunya pada hari terakhir persekolahan sebelum berpindah.
Aaryan Fayyadh tidak dapat menahan sebak ketika berjumpa gurunya pada hari terakhir persekolahan sebelum berpindah.
A
A
A

SHAH ALAM – Detik perpisahan di sebuah sekolah rendah di Puchong mencetuskan suasana sebak apabila seorang murid lelaki berusia lapan tahun tidak dapat menahan tangisan pada hari terakhir persekolahan sebelum berpindah ke sekolah baharu di Bangi.

Murid berkenaan, Aaryan Fayyadh Muhammad Najib Alhafis yang merupakan anak sulung dalam keluarga, dilihat menangis ketika menyampaikan hadiah kepada guru-gurunya sebagai tanda penghargaan atas didikan dan kasih sayang yang diterima sepanjang tempoh berada di sekolah tersebut.

Menurut ibunya, Nurain Syafiqah Che Roni, 30, Aaryan Fayyadh merupakan seorang anak yang berhati lembut, mudah mesra dan sangat rapat dengan guru serta rakan-rakan.

“Dia suka berkongsi cerita dengan kawan dan guru. Walaupun hatinya lembut, dia seorang yang matang.

“Dia faham sebab perlu berpindah sekolah dari Puchong ke Bangi dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka walaupun berat untuk berpisah. Dia tahu setiap pertemuan pasti ada perpisahan,” katanya.

Beliau berkata, hadiah yang diberikan itu merupakan tanda terima kasih Aaryan Fayyadh kepada guru-guru yang telah mendidik dan membimbingnya dengan penuh kasih sayang.

Jelasnya, pada hari terakhir persekolahan, Aaryan Fayyadh telah menyediakan hadiah kepada ustaz dan ustazah sebagai tanda penghargaan serta cenderahati atas jasa mereka menyampaikan ilmu sepanjang tempoh pembelajarannya.

“Saya dan suami sentiasa menerapkan nilai hormat dan adab kepada Aaryan Fayyadh agar dia menghormati guru sebagaimana dia menghormati ibu bapa di rumah.

“Saya selalu pesan bahawa cikgu di sekolah adalah ibu bapa kedua. Jika buat salah, minta maaf dan sentiasa ucap terima kasih. Hormat guru sebagaimana hormat ibu bapa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai tangisan anaknya, Nurain Syafiqah menjelaskan ia berpunca daripada perasaan sedih kerana perlu berjauhan dengan individu yang sangat rapat di hatinya.

“Kalau dia sudah selesa dengan seseorang, dia akan sedih apabila perlu berpisah. Walaupun pernah dimarahi, dia faham bahawa cikgu menegur kerana sayang dan mahu mendidiknya.

“Walaupun telah berpindah ke Bangi, dia sentiasa mengingati guru dan rakan-rakan lamanya serta tidak pernah melupakan mereka,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap nilai adab, hormat dan kasih kepada guru akan terus subur dalam diri anaknya sepanjang hayat.

Ringkasan AI

  • Tangisan murid lapan tahun cerminan adab, kasih kepada guru
  • Murid itu, Aaryan Fayyadh Muhammad Najib Alhafis menangis ketika menyampaikan hadiah kepada guru-gurunya sebagai tanda penghargaan
  • Anak yang berhati lembut, mudah mesra dan sangat rapat dengan guru serta rakan-rakan
  • Faham sebab perlu berpindah sekolah dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka
  • Hadiah sebagai tanda terima kasih kepada guru-guru atas didikan dan kasih sayang yang diterima
  • Tangisan berpunca daripada perasaan sedih kerana terpaksa berjauhan dengan individu yang rapat di hatinya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!