DAPSY gesa Akmal Saleh letak jawatan, dakwa UMNO mahu kekal dalam kerajaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh segera meletak jawatan sebagai exco dan melaksanakan pendirian beliau untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

DAPSY Kebangsaan dalam satu kenyataan berkata, ini kerana gimik 'keluar kerajaan' yang dimainkan oleh Muhamad Akmal dalam beberapa hari ini terbukti adalah bahan lawak politik apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan untuk bersama Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, kenyataan Presiden UMNO bahawa UMNO 'tidak mahu dipatuk ular sama kali kedua' telah menutup ruang spekulasi rundingan UMNO dan Pas.

"Tafsiran songsang Akmal Saleh kononnya Presiden UMNO bersetuju kerjasama penyatuan orang Melayu jelas merupakan cubaan mengelirukan rakyat, tidak menghormati pendirian parti dan memalukan diri sendiri.

"Jadi, sekiranya Akmal Saleh benar-benar berprinsip, dia boleh meletakkan jawatan exco serta-merta tanpa perlu menunggu lagi.

"Jika masih kekalkan jawatan sedia ada, maka dia harus menelan semula apa yang pernah diungkap dan menghentikan segala tindakan dan retorik yang hanya berniat untuk merosakkan usaha kerajaan terhadap agenda reformasi dan kesejahteraan rakyat," katanya pada Rabu.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap keputusan yang bakal dibuat akan diteliti secara menyeluruh dan berhati-hati bagi mengelakkan UMNO 'dipatuk oleh ular yang sama buat kali kedua di tempat yang sama'.

Pada Sabtu lalu, Muhamad Akmal membawakan dua usul dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO, iaitu agar parti kembali bekerjasama dengan Pas dan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan serta berperanan sebagai pembangkang.

Tambah kenyataan itu, DAPSY ingin mengingatkan bahawa pengalaman tahun 2020 hingga 2022 jelas menunjukkan 'penyatuan' bersama antara UMNO, Pas dan Bersatu telah membawa ketidakstabilan dan kerugian kerusi kepada UMNO sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang usaha untuk mengulangi langkah sama hanyalah mengkhianati mandat rakyat dan menjejaskan masa depan parti sendiri.

"DAPSY menegaskan bahawa fokus utama kini adalah untuk memacu pemulihan ekonomi, meringankan kos sara hidup dan meneruskan reformasi.

"Rakyat tidak berminat dengan drama perebutan kuasa dan hanya perlukan sebuah kerajaan yang stabil dan mampu bekerja," ujarnya

Ringkasan AI

  • Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meletak jawatan sebagai exco
  • Gimik keluar kerajaan yang dimainkan oleh Muhamad Akmal dinilai sebagai bahan lawak politik setelah UMNO memilih untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan
  • Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO tidak ingin diulangi kesilapan masa lalu dengan Pas
  • Muhamad Akmal membawakan dua usul dalam Konvensyen Kias Pemuda UMNO untuk bekerjasama dengan Pas dan keluar dari Kerajaan Perpaduan
  • DAPSY menekankan fokus utama adalah pemulihan ekonomi dan menolak usaha politik yang berpotensi mengkhianati mandat rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!