Covid-19: Thailand rekod 143 kes baharu, dua lagi kematian

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Thailand hari ini merekodkan dua lagi kematian ekoran Covid-19 termasuk seorang rakyatnya yang baru pulang dari Malaysia, menjadikan jumlah kematian di negara itu kepada lapan orang.

Setakat 12 tengah hari ini waktu tempatan,Thailand mencatatkan 143 kes baharu Covid-19 mencatatkan jumlah keseluruhan 1,388 kes.

Dua kematian membabitkan seorang lelaki berusia 54 tahun dari Yala, selatan Thailand yang menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi serta baru kembali dari Kota Bharu, Kelantan pada 13 Mac lalu.

Seorang lagi mangsa berusia 68 tahun dari Wilayah Nonthaburi yang menyaksikan pertandingan tinju Siam, Muay Thai di sebuah stadium yang dihadiri ramai penonton di Bangkok pada 6 Mac lalu.

Kluster di stadium Muay Thai adalah antara kluster terbesar di negara itu, malah media tempatan melaporkan kira-kira 2,500 orang menyaksikan perlawanan berkenaan pada hari tersebut dan kematian lelaki itu adalah kematian kedua daripada kluster tersebut.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, 70 daripada 143 kes baharu adalah berkait dengan jangkitan awal.

Ia termasuk satu kes melibatkan satu individu yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur dan 43 kes lagi adalah yang melancong ke luar negara, bekerja di tempat ramai orang serta mempunyai kontak rapat dengan warga asing.

Beliau menambah, 30 kes lagi adalah daripada kluster yang tidak diketahui dan siasatan masih berjalan untuk mengesahkan sumber jangkitan penyakit itu.

Artikel Berkaitan:

“Daripada 143 kes baharu yang direkod, lapan petugas kesihatan disahkan positif Covid-19,” katanya pada taklimat harian hari ini.

Sehingga kini, Thailand mencatatkan 1,388 kes Covid-19 dan 111 pesakit dibenarkan pulang manakala 1,269 masih dirawat.

Statistik menunjukkan jumlah keseluruhan 1,172 pesakit adalah warga Thailand manakala 216 adalah warga asing selain 61.1 peratus adalah lelaki dan 38.9 peratus adalah wanita.

Setakat hari ini, 641 kes dilaporkan di Bangkok, 135 kes di lima wilayah berdekatan Bangkok iaitu Samut Prakarn, Samut Sakhon, Nakhon Pathom, Nonthaburi dan Pathumthani, selatan Thailand (82 kes) dan 530 kes di wilayah lain.

Thaweesilp menggesa orang ramai untuk tidak pulang ke rumah mereka di wilayah masing-masing dan melaksanakan jarak sosial untuk mengekang jangkitan virus maut di negara itu.

“Kerajaan amat khuatir dengan peningkatan jumlah kes yang pantas. Kami berharap jumlah kes baharu direkodkan akan berkurangan selepas tujuh hari perintah darurat diumumkan.

"Tolong berada di rumah untuk melawan penularan Covid-19,” katanya.

Thailand mengumumkan perintah darurat bermula tengah malam 26 Mac sehingga 30 April dalam usaha membendung pandemik itu.

Gabenor di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani melaksanakan perintah berkurung susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di wilayah yang sering berlaku keganasan di selatan negara itu.

Gabenor Wilayah Phuket, Phakaphong Tavipatana menggesa orang ramai dan pelancong di pulau peranginan itu untuk berada di rumah bermula jam 8 malam sehingga 3 pagi, untuk mengekang penularan Covid-19. - Bernama