Israel peralatkan Somaliland, agenda jahat sejak awal abad ke-20

Penduduk Somaliland berhimpun sambil mengibarkan bendera kebangsaan selepas pengiktirafan 'kemerdekaan' oleh Israel. Foto Agensi
Penduduk Somaliland berhimpun sambil mengibarkan bendera kebangsaan selepas pengiktirafan 'kemerdekaan' oleh Israel. Foto Agensi
A
A
A

TIADA angin, tiada ribut, Israel secara drastik mengumumkan pengiktirafan terhadap Somaliland sebagai sebuah negara berdaulat, sekali gus mencetuskan gelombang bantahan yang meluas.

Perkembangan itu sememangnya mengejutkan banyak pihak kerana tiada negara mengiktiraf republik yang berpisah dengan Somalia sejak 1991.

Kejutan pada penghujung 2025 itu telah membuka polemik baharu dalam geopolitik Afrika.

Somaliland masih dianggap sebagai sebahagian daripada Somalia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kebanyakan negara termasuk China yang menentang gerakan pemisahan demi kepentingan tertentu.

Tindakan melulu Tel Aviv telah mencabar kedaulatan Mogadishu dan memberi tekanan kepada negara jiran di Afrika Timur.

Penunjuk perasaan mengadakan bantahan di Mogadishu sambil melaungkan slogan mengecam Tel Aviv. Foto Agensi
Penunjuk perasaan mengadakan bantahan di Mogadishu sambil melaungkan slogan mengecam Tel Aviv. Foto Agensi

Sehingga kini, langkah Israel mendekati Somaliland telah menimbulkan persoalan besar.

Adakah ia benar-benar soal pengiktirafan atau Hargeisa sekadar alat dalam permainan geopolitik yang lebih besar?

Artikel Berkaitan:

Selama lebih tiga dekad, Somaliland berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

Bagi Israel, Hargeisa bukan sekadar wilayah di Tanduk Afrika kerana kedudukannya berhampiran laluan strategik Teluk Aden dan Bab al-Mandab, menjadikan ia sebagai koridor maritim penting bagi perdagangan dan keselamatan serantau.

Hubungan dengan Somaliland memberi Israel kelebihan strategik termasuk menyasarkan kedudukan pejuang Huthi di Yemen.

Pengiktirafan kontroversi itu bukan sekadar isu diplomatik biasa sebaliknya mencerminkan strategi geopolitik yang memperalatkan pihak yang lemah.

Sejarah sudah membuktikan kuasa besar sering menggunakan wilayah kecil atau entiti tidak diiktiraf sebagai tapak pengaruh, alat tekanan diplomatik dan bidak dalam percaturan serantau.

Lanjutan idea mengarut lebih lapan dekad lalu

Pengiktirafan Israel ke atas Somaliland dilihat sebagai ‘satu tindakan yang pelik dan tidak dijangka’.

Langkah kontroversi itu sebenarnya sudah dirancang lebih awal dan merupakan lanjutan idea mengarut beberapa dekad lalu tentang 'penjajahan' wilayah jauh untuk mengubah komposisi demografi melalui kemasukan besar-besaran pendatang Yahudi.

Ia dibuktikan menerusi beberapa dokumen yang mendedahkan agenda jahat sejak sebelum penubuhan negara haram Israel pada 1948.

Pada 1939, laporan The Canadian Jewish Chronicle menyokong idea mewujudkan 'tanah air Yahudi' di Ethiopia dengan alasan negara itu mempunyai kaitan sejarah kuno dengan bangsa tersebut sejak zaman Firaun.

Dokumen pada 1942 pula menyebut tentang cadangan tidak masuk akal seorang aktivis Yahudi, Hermann Fuernberg yang menyarankan supaya kawasan Harrar di Ethiopia digabungkan dengan sebahagian British Somaliland untuk menubuhkan sebuah negara bagi orang Yahudi Eropah.

Fuernberg berpendapat kononnya kawasan tersebut 'tidak akan mendatangkan banyak kesukaran' apabila melibatkan hal penduduk tempatan dan setiap orang Yahudi wajar diberikan hak untuk menetap dan bermastautin di negara tersebut.

Idea merepek itu tidak pernah diterima secara rasmi oleh pemerintah Israel dan dianggap hanya sekadar cadangan intelektual pada masa itu.

Namun, pembongkaran artikel itu menunjukkan 'keinginan membara' Zionis terhadap wilayah jauh di luar Palestin untuk menampung komuniti pendatang Yahudi.

Pakatan sulit

Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud pula yakin tindakan Tel Aviv dan Hargeisa itu seperti ada udang di sebalik batu dan bukanlah atas dasar diplomasi semata-mata.

Somaliland telah memperjuangkan isu pemisahan sejak tiga dekad lalu dan tiada negara yang ambil peduli dengan tuntutan tersebut.

Sepanjang tempoh 34 tahun, Mogadishu berusaha untuk menyatukan semula Somalia dan Somaliland dengan menggunakan pendekatan aman.

Tetapi, Israel secara tiba-tiba campur tangan dalam konflik Somalia-Somaliland dengan mengiktiraf Hargeisa secara unilateral, satu tindakan yang disifatkan oleh sebagai pencabulan kedaulatan Mogadishu.

Beberapa bulan lalu, sejumlah rangkaian berita mendedahkan Tel Aviv ada menghubungi Somaliland mengenai potensi penempatan semula penduduk Palestin yang diusir secara paksa dari Gaza.

Hargeisa pula mendakwa pengiktirafan Israel kononnya tiada kaitan dengan isu penduduk Palestin malah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi alasan ia bakal membuka peluang kerjasama ekonomi, teknologi, kesihatan dan pertanian.

 Hassan Sheikh Mohamud
Hassan Sheikh Mohamud

Sheikh Mohamud bagaimanapun mendedahkan maklumat risikan yang mendakwa Somaliland menerima tiga syarat Israel sebagai pertukaran dengan pengesahan rasmi tersebut iaitu pemindahan penduduk Palestin, penubuhan pangkalan tentera Zionis di pantai Teluk Aden dan menyertai Perjanjian Abraham (pakatan untuk menormalkan hubungan dengan Tel Aviv seperti dimeterai bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi serta Sudan).

Perisik Mogadishu juga mengesan kehadiran orang Israel di Somaliland dan pengumuman dibuat Tel Aviv sekadar ‘normalisasi kepada hubungan yang sudah terjalin secara rahsia’.

Sementara itu, penganalisis Afrika berpusat di AS, Cameron Hudson percaya pengiktirafan Israel itu sebenarnya ada kaitan dengan rancangan untuk menyekat pengaruh Iran dan proksi mereka di rantau Laut Merah.

Kajian strategik mengatakan kedudukan Somaliland di pintu masuk Laut Merah- Selat Bab al‑Mandab menjadikannya titik penting dalam kawalan laluan laut yang menghubungkan dengan Laut Mediterranean dan seterusnya dengan Gaza.

Kehadiran keselamatan atau risikan di laluan strategik itu memberi kelebihan kepada Israel untuk memantau aliran senjata yang berisiko memberi impak kepada konflik di Gaza dan keselamatan wilayahnya.

No Image Caption

INFO

SOMALILAND

>Sebuah wilayah separa gurun yang terpisah di pantai Teluk Aden.

>Ia mengisytiharkan kemerdekaan selepas penggulingan bekas pemimpin diktator Somalia, Siad Barre pada 1991. Sebelum itu, pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan Barre dan gerila pemberontak di wilayah itu yang meragut ratusan ribu nyawa.

>Somaliland mempunyai sistem politik, institusi kerajaan, pasukan keselamatan, mata wang dan pasport sendiri walaupun tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.

>Pada 26 Jun 1960, ia mengisytiharkan kemerdekaan sebelum bergabung dengan wilayah di selatan bebas daripada Itali untuk menubuhkan Republik Somalia pada 1 Julai 1960.

>Bekas protektorat British dari akhir abad ke-19 hingga 1960 itu juga tidak berdepan kekacauan dan insiden keganasan yang melanda Somalia. Situasi di Hargeisa lebih stabil daripada ancaman kumpulan militan.

>Wilayah yang turut tersenarai antara yang termiskin di Afrika itu berdepan kemarau yang panjang dan krisis kebuluran.

Ibu kota: Hargeisa

Presiden: Abdirahman Mohamed Abdullahi

Keluasan: 177,000 km persegi

Populasi: 6.2 juta (2024)

Bahasa pertuturan: Somali, Arab, Bahasa Inggeris

Ringkasan AI

  • Israel secara drastik mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara berdaulat
  • Ini mengejutkan kerana tiada negara lain yang mengiktiraf Somaliland sejak ia berpisah dari Somalia pada 1991
  • Somaliland dianggap oleh PBB dan kebanyakan negara sebagai sebahagian daripada Somalia
  • Tindakan Israel mencabar kedaulatan Somalia dan menimbulkan tekanan geopolitik di Afrika Timur
  • Pengiktirafan Israel terhadap Somaliland dipandang sebagai bahagian dari strategi geopolitik yang lebih besar, melibatkan kepentingan maritim dan keselamatan serantau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!