Ubat malaria bantu rawat pesakit Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ubat ‘Chloroquine’, yang digunakan untuk penyakit malaria telah digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 sejak gelombang pertama wabak itu di Malaysia dan telah menunjukkan keberkesanannya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ciri-ciri ubat itu yang bersifat antiradang sesuai untuk merawat penyakit Covid-19 yang telah menyebabkan radang pada saluran pernafasan bawah pesakit.

"Apabila virus Covid-19 melekat di saluran pernafasan bawah ia akan menyebabkan radang dan replikasi virus tersebut dan ubat ini membantu merawat radang itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata selain ‘Chloroquine’, kombinasi ‘Lopinavir dan Ritonavir’ serta Hydroxychloroquine telah digunakan Kementerian Kesihatan (KKM) sejak gelombang pertama wabak itu.

Jelasnya, ubat-ubat yang digunakan pada gelombang pertama itu telah menunjukkan keberkesanan bagi merawat Covid-19 tetapi penyelidikan terperinci perlu dilakukan.

Beliau menjelaskan bagaimanapun, kadar kematian wabak itu kian meningkatkan disebabkan pesakit- pesakit yang berusia, mempunyai penyakit comorbid seperti darah tinggi dan buah pinggang serta pesakit mendapatkan rawatan pada tahap yang lewat iaitu ketika mengalami masalah jangkitan pernafasan.

"Kita telah mencuba ubat tersebut dan ubat ini ada kajian bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang dinamakan Solidarity Trial yang turut melibatkan banyak negara lain," katanya.

Katanya, selain ubat-ubat berkenaan kajian akan tertumpu kepada ubat terbaru, Remdesevir seperti yang diumumkan semalam.

Artikel Berkaitan:

"Ini hanya bagi penyelidikan dan ubat yang telah kita gunakan di luar label seperti ‘Lopinavir dan Ritonavir’ telah kita gunakan sejak gelombang pertama," katanya. - Bernama