[VIDEO] Lebih 100 penoreh getah di Kuala Krai ‘gantung’ pisau gara-gara pak belang
KUALA KRAI – Kemunculan seekor ibu harimau belang bersama anaknya di beberapa kampung di sini bukan sahaja mencetuskan kebimbangan penduduk, malah menjejaskan sumber pendapatan lebih 100 penoreh getah yang terpaksa menghentikan rutin harian mereka sejak hampir dua minggu lalu.

Lebih membimbangkan, haiwan pemangsa itu dipercayai berkeliaran di kebun getah dan semakin menghampiri kawasan penempatan penduduk sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk serta haiwan ternakan.
Empat kampung yang terjejas ialah Kampung Nara, Kampung Bukit Pacat, Kampung Gajah Mati dan Kampung Slow Temiang yang mempunyai lebih 500 penduduk.
Penoreh getah, Mansor Deraman, 78, berkata, dia terpaksa melupakan buat sementara waktu pekerjaan yang menjadi sumber pendapatan utamanya selepas beberapa kali terdengar bunyi ngauman harimau dari kawasan kebunnya.
Menurutnya, kebiasaannya dia keluar menoreh seawal jam 8 pagi di kawasan Gajah Mati, namun keadaan semasa menyebabkan dia tidak lagi berani memasuki kebun getah.

“Kalau menoreh, saya boleh dapat kira-kira RM70 sehari. Saya mengusahakan kebun getah sendiri seluas 2.4 hektar, tetapi sekarang terpaksa berhenti menoreh sekejap kerana takut.
“Sudah dua hingga tiga kali saya terdengar bunyi ngauman harimau di dalam kebun getah. Apabila memikirkan soal keselamatan diri, saya tidak berani lagi masuk ke kebun,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Seorang lagi penoreh, Sukarman Ibrahim, 59, berkata, dia turut menghentikan kerja menoreh selepas menemui kesan tapak kaki yang dipercayai milik harimau di kebun getahnya lebih seminggu lalu.
Katanya, penemuan dua kesan tapak kaki dengan saiz berbeza menguatkan kepercayaan penduduk bahawa seekor ibu harimau dan anaknya sedang berkeliaran di kawasan berkenaan.
“Pendapatan saya hanya bergantung kepada menoreh getah sahaja. Sekarang saya tidak tahu bila boleh kembali bekerja kerana bimbang terserempak dengan haiwan liar berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Sungai Mengkuang, Zulkifli Sulaiman berkata, kelibat harimau belang itu mula dikesan kira-kira 15 hari lalu dengan golongan penoreh getah dan pekebun kecil menjadi antara pihak yang paling terkesan.

Menurutnya, kebimbangan penduduk semakin memuncak apabila haiwan terbabit dilaporkan mengganggu ternakan di Kampung Nara, manakala penduduk Kampung Gajah Mati pula mendengar bunyi ngauman serta menemui kesan tapak kaki di kebun getah.
Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan telah mengambil tindakan segera dengan memasang kamera pemantauan dan perangkap di dua lokasi iaitu Kampung Nara dan Kampung Gajah Mati menggunakan kambing sebagai umpan.
Bagaimanapun, setakat ini usaha tersebut masih belum berjaya menangkap haiwan berkenaan.
“Penduduk memang trauma dan takut. Selepas Maghrib, mereka tidak lagi keluar rumah menyebabkan suasana kampung menjadi sunyi.
“Kami berterima kasih kepada Perhilitan kerana bertindak pantas, namun penduduk berharap masalah ini dapat diselesaikan supaya mereka boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Zulkifli berkata, sepanjang 17 tahun berkhidmat sebagai penghulu mukim, ini merupakan kali pertama beliau berdepan situasi melibatkan harimau belang.
Menurutnya, sebelum ini penduduk lebih biasa berhadapan dengan kemunculan gajah, beruang dan tapir, namun kehadiran pak belang kali ini menimbulkan kebimbangan yang jauh lebih besar kerana risikonya terhadap keselamatan penduduk yang bekerja di kebun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

