Potongan padi Kelantan purata 23 peratus – KADA

Mohd Faizul (dua dari kanan) menandatangani ikrar bebas rasuah sambil disaksikan Khalid (kanan) dan Yuswan (tengah) serta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Foto:SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Faizul (dua dari kanan) menandatangani ikrar bebas rasuah sambil disaksikan Khalid (kanan) dan Yuswan (tengah) serta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Foto:SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Purata potongan timbangan padi di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) direkodkan sekitar 23 peratus setakat 18 Oktober lalu.

Pengerusi KADA, Khalid Abd Samad, berkata kadar potongan berbeza mengikut kawasan dan ditentukan berdasarkan penilaian sampel padi.

“Proses penilaian dilakukan menggunakan mesin di kilang bagi menentukan kadar potongan berdasarkan keadaan padi.

“Ini termasuk kandungan air, habuk dan bendasing. Secara keseluruhannya, purata potongan ialah 23 peratus. Bagaimanapun, kadar itu berbeza mengikut kawasan dan kualiti padi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Integriti 2026 dan Ikrar Bebas Rasuah Kada di Pejabat KADA Lundang di sini pada Ahad.

Majlis itu dirasmikan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Yuswan Yunus, dan turut dihadiri Pengurus Besar Kada, Mohd Faizul Mustafa.

Kakitangan KADA yang menyertai ceramah Sambutan Hari Intergriti di Kada. Foto:SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Kakitangan KADA yang menyertai ceramah Sambutan Hari Intergriti di Kada. Foto:SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Sebelum ini, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menggesa KPKM memperketat pemantauan terhadap kilang padi berlesen susulan kadar potongan timbangan padi yang dilaporkan mencecah sehingga 35 peratus di Kedah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Khalid berkata, potongan tertinggi yang direkodkan di kawasan Kada tahun ini ialah 28 peratus di Tumpat pada musim kedua, yang dipengaruhi keadaan padi basah ketika ditimbang.

Menurutnya, kadar potongan tidak boleh ditetapkan pada satu peratusan yang sama kerana kualiti padi yang diterima adalah berbeza-beza.

“Jika ditetapkan potongan maksimum antara 10 hingga 15 peratus, tetapi hasil pemeriksaan sampel menunjukkan kadar potongan lebih tinggi, ia tidak boleh dilaksanakan kerana penilaian tetap perlu dibuat berdasarkan kualiti padi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan pesawah hadir sendiri ketika padi dihantar untuk ditimbang bagi menyaksikan proses penilaian serta mendapatkan penjelasan sekiranya tidak berpuas hati dengan kadar potongan yang dikenakan.

Katanya, terdapat pesawah yang menyerahkan urusan penghantaran kepada pemandu lori, sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat menyaksikan sendiri proses penilaian tersebut.

Khalid berkata, KADA akan menjalankan siasatan sekiranya menerima laporan mengenai potongan padi yang terlalu tinggi.

Menurutnya, pusat belian juga diwajibkan menyimpan sampel padi selama enam bulan selepas pembelian bagi membolehkan semakan dibuat sekiranya berlaku pertikaian.

Beliau turut mengakui pernah berlaku kes potongan sehingga 60 peratus di Tumpat pada musim kedua tahun lalu yang dipercayai berpunca daripada keadaan hujan ketika padi dituai sehingga menyebabkan hasil berkenaan basah.

“Keadaan cuaca merupakan antara faktor yang boleh mempengaruhi kualiti padi dan seterusnya kadar potongan ketika proses penilaian di kilang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!