Perak beri keutamaan aspek keselamatan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia

Sze Yee (dua dari kiri) menyantuni pelancong yang tiba dari Singapura ketika mengetuai Acara Sambutan di Pintu-Pintu Masuk Seluruh Negara dan Hab Pengangkutan Utama bersempena VM2026 bagi negeri Perak di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) pada Khamis.
Sze Yee (dua dari kiri) menyantuni pelancong yang tiba dari Singapura ketika mengetuai Acara Sambutan di Pintu-Pintu Masuk Seluruh Negara dan Hab Pengangkutan Utama bersempena VM2026 bagi negeri Perak di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak akan berkompromi dari aspek keselamatan pelancong khususnya di kawasan geopark dan lokasi alam semula jadi sensitif di negeri ini dalam usaha memperkukuh industri pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, sehubungan itu beberapa kawasan geopark termasuk gua batu kapur akan ditutup sementara sekiranya dikenal pasti mempunyai risiko keselamatan bagi membolehkan kerja-kerja penambahbaikan dan naik taraf dilaksanakan.

Menurutnya, langkah itu dibuat berdasarkan kajian pakar bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin sebelum kawasan terbabit dibuka semula kepada orang ramai.

"Geopark merupakan kawasan yang sensitif dan menjadi tarikan utama pelancong yang gemar kepada keindahan alam semula jadi. Justeru, di Perak kita mengambil perhatian serius terhadap keselamatan pelawat.

"Sekiranya ada kawasan yang berpotensi berlaku insiden tidak diingini, kawasan tersebut akan ditutup sementara untuk kerja-kerja naik taraf keselamatan. Apabila dibuka semula kelak, ia akan berada dalam keadaan yang lebih selamat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian sempena Acara Sambutan di Pintu-Pintu Masuk Seluruh Negara dan Hab Pengangkutan Utama bersempena VM2026 bagi negeri Perak di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Sze Yee berkata, kerajaan negeri turut menghargai sikap bertanggungjawab pemain industri pelancongan yang secara sukarela menutup kawasan tarikan tertentu demi keselamatan pengunjung.

Sebagai contoh, katanya, pengurusan kawasan gua terkenal di Ipoh telah mengambil inisiatif menutup sementara lokasi berkenaan bagi melaksanakan kerja-kerja keselamatan sebelum dibuka semula kepada orang ramai.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kawasan Lenggong yang mempunyai dua tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) turut diberi perhatian dalam pembangunan pelancongan berasaskan warisan dan geopark.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pembangunan di kawasan tersebut dilaksanakan secara berhati-hati bagi memastikan nilai sejarah dan khazanah alam semula jadi dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

"Kawasan Lenggong ini sangat istimewa, bukan sahaja di Perak malah di rantau ini, dengan warisan sejarah termasuk kesan letupan gunung berapi dan fenomena meteor yang jarang ditemui.

"Pembangunan perlu dibuat dengan mengambil kira pengajaran daripada sejarah dan pengalaman lalu. Kita tidak mahu pembangunan yang mengorbankan warisan yang tidak ternilai," katanya.

Beliau turut menegaskan, kerajaan negeri komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia bagi memastikan semua inisiatif pelancongan dilaksanakan secara berkesan menjelang VM2026.

Dalam perkembangan lain, Sze Yee berkata, Perak menyasarkan kehadiran 10.5 juta pelancong domestik dan 1.2 juta pelancong antarabangsa bagi tahun ini sejajar dengan persediaan rapi negeri itu menyambut kemasukan pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya, Perak mempunyai kelebihan dari segi keselamatan, kemudahan e-hailing serta keramahan rakyat, khususnya di Ipoh, yang menjadikannya destinasi mesra pelancong.

Selain tarikan ikonik seperti Gua Tempurung, Kellie’s Castle, Menara Condong Teluk Intan dan Kompleks Istana Kuala Kangsar, Loh berkata, beberapa lokasi pelancongan sedia ada turut melalui proses naik taraf tanpa menjejaskan keaslian kawasan berkenaan.

Beliau turut menyifatkan pembangunan pelancongan di Taiping dan Lenggong, termasuk penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa dan aktiviti eko-pelancongan, sebagai antara faktor yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Perak serius dalam memastikan keselamatan pelancong di kawasan geopark dan lokasi alam semula jadi
  • Beberapa kawasan termasuk gua batu kapur akan ditutup sementara untuk kerja-kerja penambahbaikan dan naik taraf keselamatan
  • Langkah keamanan berdasarkan kajian pakar untuk memastikan keselamatan pengunjung
  • Pengurusan kawasan gua terkenal di Ipoh secara sukarela menutup lokasi untuk kerja-kerja keselamatan
  • Perak menyasarkan kehadiran 10.5 juta pelancong domestik dan 1.2 juta pelancong antarabangsa bagi tahun ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!