Larangan demi keselamatan ahli NGO: Ismail Sabri

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Larangan agihan bantuan makanan secara terus oleh Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada penerima sebagai langkah mengelakkan mereka terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut diambil selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ismail Sabri berkata, mungkin ada ahli NGO yang tidak berpuas hati tetapi tindakan itu terpaksa diambil untuk kepentingan semua pihak.

"Kerajaan sangat berterima kasih kepada kepada NGO kerana waktu kesusahan biasanya kumpulan penting ini berada di barisan hadapan untuk membantu rakyat.

"Bukan sahaja ketika Covid-19 tetapi banjir atau apa saja bencana, ahli NGO akan berada bersama kerajaan untuk membantu.

"Sebenarnya kita mendapat nasihat daripada KKM, kerana kita juga ingin menjaga keselamatan NGO tersebut, ahli NGO tersebut. Kita tahu mereka akan menghantar sendiri (bantuan) kepada penerima yang mereka tidak tahu penerima itu bersih daripada Covid-19 atau tidak,” katanya pada sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Tambah beliau, kerajaan khuatir jika ahli NGO berkenaan dijangkiti wabak Covid-19 seterusnya menyebabkan ahli keluarga dan rakan-rakan mereka pula terdedah kepada virus itu.

“KKM berpendapat, walaupun mereka (NGO) ingin menyumbang tetapi perlu menjaga kepentingan kesihatan dan nyawa mereka. Sebab itu kita membuat keputusan semalam bekalan makanan atau bantuan daripada NGO tidak oleh dihantar secara terus tetapi melalui pusat yang ditetapkan,“ katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, ujar Ismail Sabri, kerajaan bersedia mengkaji semula keputusan itu dan beliau mengalu-alukan pandangan semua pihak khususnya dari pihak NGO terbabit.

Perbincangan bersama NGO terlibat juga dijangka dilakukan dalam masa terdekat.