69 individu direman tidak patuh PKP

Kesemua yang ditahan direman sehingga 1 April ini untuk membantu siasatan.
Kesemua yang ditahan direman sehingga 1 April ini untuk membantu siasatan.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM- Seramai 69 individu termasuk tiga wanita dari daerah Seberang Perai Tengah (SPT) direman empat hari bermula hari ini sehingga 1 April bagi membantu siasatan berhubung melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini pagi tadi.

Jumlah itu menjadikan tangkapan tertinggi di daerah itu sepanjang 11 hari pelaksanaan PKP.

Antara kesalahan yang dilakukan ialah melepak, berbual bersama rakan di kedai kopi, berjoging serta menghalang tugas penjawat awam.

Pemangku Ketua Polis Daerah SPT, Superintenden Mohd Mustafa Bidin berkata, kesemua mereka ditahan dalam Ops Covid-19 di beberapa lokasi dan berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

"Tindakan menahan mereka terpaksa diambil kerana degil dan sengaja berada di luar rumah tanpa tujuan dan alasan yang munasabah," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 (1)Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan: