Sembilan individu direman bantu siasatan kes tikam

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu hingga Selasa depan.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu hingga Selasa depan.
A
A
A

MELAKA - Sembilan individu termasuk sepasang kekasih direman tujuh hari bermula Rabu bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang pengurus sebuah syarikat yang mati ditikam di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap suspek berusia antara 20 hingga 38 tahun sehingga Selasa ini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu kesemua suspek berpakaian lokap dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh pada jam 9 pagi.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan gara-gara pertengkaran mulut kerana menegur saiz payudara seorang wanita, dipercayai jadi punca seorang pengurus syarikat maut ditikam di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera, di sini, pada awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, dalam kejadian yang berlaku jam 4 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun datang ke gerai makan tersebut bersama rakan-rakannya dalam keadaan mabuk kira-kira jam 2 pagi.

Menurutnya, selesai makan, mangsa kemudian telah bercakap dengan rakan-rakannya yang menegur saiz payudara seorang wanita yang juga pelanggan di gerai itu.

Katanya, perbualan mangsa dengan rakannya itu telah didengari oleh pengawal peribadi kepada wanita berusia 26 tahun itu, lalu menegur mangsa dan memberitahu bahawa wanita terbabit merupakan majikannya.