Warga MAIPs sembah ucapan tahniah sempena ulang tahun keputeraan Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis berperanan besar khususnya dalam usaha memperkasa institusi agama Islam di Perlis.
Raja Muda Perlis berperanan besar khususnya dalam usaha memperkasa institusi agama Islam di Perlis.
A
A
A

KANGAR – Seluruh warga Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merafakkan sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena ulang tahun keputeraan baginda yang disambut pada 30 Disember.

Raja Muda Perlis disifatkan sebagai tokoh penting yang memainkan peranan besar dalam mencorakkan hala tuju dan transformasi MAIPs sejak hampir dua dekad lalu, khususnya dalam usaha memperkasa institusi agama Islam di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, perkenan baginda terhadap Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis pada tahun 2006 menjadi asas kukuh kepada pemerkasaan tadbir urus institusi agama negeri.

Menurutnya, usaha itu seterusnya diperkasakan menerusi pelaksanaan transformasi menyeluruh MAIPs bermula tahun 2011 yang menekankan aspek tadbir urus berintegriti, pengurusan kewangan berakauntabiliti tinggi serta pendekatan kebajikan yang lebih strategik dan inklusif.

“Di bawah kepimpinan dan dukungan berterusan Tuanku Raja Muda Perlis, MAIPs telah mencatat pelbagai pencapaian membanggakan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya ketika berkongsi pandangan dalam Siri Podcast Salasilah Perlis bertajuk Tuanku Yang DiPertua Mengangkasakan MAIPs.

Podcast berkenaan ditayangkan sempena ulang tahun keputeraan Raja Muda Perlis dan dipengerusikan oleh Timbalan Yang Dipertua MAIPs, Dr Hazman Hassan.

Antara pencapaian utama MAIPs termasuk penganugerahan Sijil Bersih Kewangan oleh Ketua Audit Negara secara konsisten sejak 2012 hingga kini, selain Anugerah Lima Bintang Indeks Akauntabiliti oleh Jabatan Audit Negara serta pengiktirafan Standard SAGA oleh Jabatan Akauntan Negara, menjadikan MAIPs sebagai agensi Islam pertama di Malaysia menerima pensijilan berkenaan.

Selain kecemerlangan tadbir urus, MAIPs turut menerima pengiktirafan atas inovasi sosial dan penglibatan komuniti apabila direkodkan dalam Malaysia Book of Records menerusi inisiatif Kayuhan MAIPs Peduli.

Usaha memperkasa budaya, pendidikan dan pembangunan lestari turut menyaksikan MAIPs menerima Anugerah Citra Budaya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Anugerah Khas MASTI oleh Kementerian Pendidikan Tinggi serta President’s Award oleh Malaysian Institute of Planners hasil kejayaan Projek DiRaja Transformasi Kampung Warna-warni Seberang Ramai.

Artikel Berkaitan:

Di peringkat antarabangsa, MAIPs turut menerima pengiktirafan apabila dianugerahkan Acknowledged Flagship Project RCE Awards 2024 melalui kerjasama RCE Greater Gombak (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di bawah naungan United Nations University bagi projek Empower Perlis: Sustainable Growth for Asnaf Families.

Inisiatif kebajikan MAIPs juga mendapat pengiktirafan global apabila didaftarkan dalam jurnal antarabangsa oleh International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC).

Ringkasan AI

  • Warga MAIPs ucap tahniah kepada Raja Muda Perlis sempena ulang tahun keputeraan pada 30 Disember
  • Raja Muda Perlis berperanan besar dalam transformasi dan perkasa institusi agama Islam di Perlis
  • Perkenan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006 oleh Raja Muda Perlis asas pemerkasaan tadbir urus agama negeri
  • MAIPs mencatat pencapaian membanggakan di peringkat negeri, kebangsaan, dan antarabangsa di bawah dukungan Tuanku Raja Muda Perlis
  • MAIPs dianugerahkan pelbagai pengiktirafan termasuk Sijil Bersih Kewangan, Anugerah Lima Bintang Indeks Akauntabiliti, dan Acknowledged Flagship Project RCE Awards 2024

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!