PRK Kinabatangan: Pencalonan Miha di DUN Lamag noktahkan perselisihan faham 10 tahun

KOTA KINABALU - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Mohd Ismail Ayob melihat keputusan parti mencalonkan beliau sebagai satu langkah untuk menoktahkan perselisihan faham politik yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau tidak menjadikan keputusan yang diperoleh semasa bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya negeri (PRN) lalu sebagai sandaran kemenangan bagi pilihan raya kecil (PRK) kali ini.
"Pada saya pilihan raya yang lepas, itu yang lepas dan hari ini seperti yang dikatakan Pengerusi (BN Sabah), suhu itu perlu untuk kita turunkan dan saya juga mengambil pendekatan yang sama.
"Yang mana perselisihan faham politik yang sudah berlangsung 10 tahun daripada PRN16 sehingga PRN17 harus kita nokotahkan dan kita harus fokus untuk membangunkan Lamag," katanya ketika ditemui pemberita selepas diumumkan sebagai calon DUN Lamag di Bangunan UMNO Sabah, di sini pada Selasa.
Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai Miha turut berkata, kerajaan negeri kini telah terbentuk dan BN merupakan sebahagian daripada kerajaan tersebut.
"Hari ini kerajaan negeri sudah terbentuk dan BN adalah sebahagian daripada kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan. Sudah tentu bagi kita dan mana-mana ucapan yang saya bawa, perkara paling penting adalah perpaduan seperti yang dikatakan pengerusi.
"Begitu juga dengan manifesto dan ada lima manifesto yang kita bawa dan sebahagiannya perlu melalui dengan kerajaan Persekutuan.
"Sebab itu BN adalah satu tempat yang baik untuk kita melaksanakan manifesto yang mana perlu kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri," katanya.
Miha, 45, sebelum ini bertanding sebagai calon bebas di DUN Lamag dan berjaya memperoleh 3,755 undi dalam persaingan enam penjuru, termasuk menentang penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 153 undi.
Ringkasan AI
- Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob, mencalonkan diri sebagai langkah menyelesaikan perselisihan politik selama 10 tahun
- Beliau tidak bergantung pada keputusan sebelumnya sebagai calon bebas untuk PRK kali ini
- Mohd Ismail memandang pentingnya menurunkan suhu politik dan menyelesaikan perselisihan untuk membangunkan Lamag
- Kerajaan negeri telah terbentuk dengan BN sebagai sebahagiannya, menekankan pentingnya perpaduan dan kerjasama dalam pelaksanaan manifesto
- Sebelum ini, bertanding sebagai calon bebas dan memperoleh 3,755 undi dalam persaingan enam penjuru
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
