Isu dalaman PN: Gerakan minta parti komponen bertenang

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) meminta semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) agar bertenang dan tidak bertindak terburu-buru susulan perkembangan dalaman gabungan itu kebelakangan ini.
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya mengambil maklum isu berkaitan pelantikan Menteri Besar Perlis serta peletakan jawatan beberapa pemimpin utama PN, namun menegaskan bahawa semua perkara berkaitan kepimpinan perlu ditangani secara berhemah dan berlandaskan perlembagaan.
Menurut beliau, Gerakan berpendirian bahawa setiap keputusan berkaitan kepimpinan harus sejajar dengan Perlembagaan PN dan diselesaikan melalui mekanisme gabungan yang telah dipersetujui bersama.
“Kami menghormati proses kolektif dalam PN dan yakin Majlis Tertinggi PN mempunyai kebijaksanaan serta kematangan untuk membincang dan menyelesaikan perkara ini dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dr Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata, dalam situasi semasa, semua pihak dalam PN perlu mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan kestabilan gabungan serta menurunkan keyakinan rakyat terhadap PN.
"Fokus utama PN ketika ini adalah memperkukuh perpaduan dalaman dan memperkasakan jentera parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Keutamaan ini amat penting bagi memastikan PN terus tampil sebagai sebuah gabungan yang stabil, diyakini rakyat serta mampu menawarkan kepimpinan yang bertanggungjawab dan berorientasikan kepentingan rakyat serta masa depan negara,” ujarnya.
Tambah beliau, Gerakan kekal komited sebagai rakan komponen dalam PN dan akan terus menyokong segala usaha ke arah memperkukuhkan gabungan tersebut demi kestabilan politik negara.
Terdahulu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Peletakan jawatan itu disahkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri itu menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa, dengan menyatakan bahawa peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari ini.
Sebelum itu, beberapa desakan telah dibuat oleh Pas, termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mencadangkan agar jawatan Pengerusi PN diserahkan kepada Pas.
Ketegangan hubungan antara Pas dan Bersatu semakin ketara selepas berlakunya pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang daripada Pas, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
Ringkasan AI
- Parti Gerakan Rakyat Malaysia meminta semua parti Perikatan Nasional bertenang susulan perkembangan dalaman terkini
- Presiden Gerakan menekankan penyelesaian isu kepimpinan harus mengikut Perlembagaan PN
- Kekal menghormati proses kolektif dalam PN dan percaya Majlis Tertinggi PN mampu selesaikan masalah dengan bijaksana
- Fokus utama PN adalah memperkukuh perpaduan dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16
- Gerakan komited sebagai rakan komponen PN untuk menyokong usaha memperkukuh gabungan demi stabilitas politik negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

