Tengku Hassanal zahir penghargaan kepada petugas barisan hadapan

Instagram Tengku Hassanal
Instagram Tengku Hassanal
A
A
A

KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan Covid-19 menerusi sebuah video di laman sosial Instagram baginda.

Video berdurasi hampir seminit yang dimuat naik di akaun this.7 itu dirakamkan di Pekan dekat sini, merupakan inisiatif baginda yang terharu dengan pengorbanan pasukan kesihatan dan keselamatan negara yang bertugas tanpa mengira waktu dalam mendepani situasi getir ini.

Tengku Hassanal yang mengenakan seragam tentera, memulakan rakaman video itu dengan berdiri di hadapan 'papan tanda' buatan sendiri yang tertera perkataan 'Frontliners', 'Thank You', 'Stay Home', 'Terima Kasih' dan 'Duduk Rumah'.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan kesyukuran kepada semua barisan hadapan yang bertugas di semua hospital. Anda memang berani.

"Saya juga mendoakan agar semua menjaga kesihatan diri sendiri supaya Covid-19 ini berjaya dihapuskan dan semua ribuan nyawa diselamatkan. Sekali lagi terima kasih 'frontliners'," titah baginda.

Tengku Hassanal turut berkenan menasihatkan rakyat agar duduk di rumah, kekal sihat dan kekal selamat yang merupakan nasihat kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Selain rakaman titah Tengku Hassanal, video itu memuat naik beberapa keping gambar doktor dan jururawat bertugas di hospital serta pasukan keselamatan mengadakan sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut memuat naik gambar pegun yang dirakam daripada video tersebut di akaun Instagram baginda airtangan_tunkuazizah untuk menzahirkan perasaan rindu terhadap anakanda baginda.

Artikel Berkaitan:

Gambar Tengku Hassanal di tepi papan tanda itu disertakan dengan caption: 'I miss my son'.

Tunku Azizah dan Al-Sultan Abdullah kini menjalani proses kuarantin selama 14 hari mulai Khamis lalu selepas tujuh kakitangan Istana Negara disahkan positif Covid-19.

Seri Paduka berdua telah menjalani tapisan kesihatan dan pengesanan virus itu, yang kemudian disahkan negatif.- Bernama