Kita perlu bijak berbelanja ketika musim kritikal

Beban kewangan boleh dikawal dengan perancangan rapi, disiplin berbelanja dan amalan bersederhana. Gambar hiasan
Beban kewangan boleh dikawal dengan perancangan rapi, disiplin berbelanja dan amalan bersederhana. Gambar hiasan
A
A
A

IBU BAPA disaran agar lebih berhemah dan bijak mengurus kewangan keluarga sepanjang tempoh musim cuti persekolahan, sambutan tahun baharu, sesi persekolahan serta ketibaan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Tempoh hujung dan awal tahun sering menjadi fasa paling mencabar khususnya dalam kalangan ibu bapa B40 apabila perbelanjaan meningkat secara berturut-turut.

Selain kos percutian dan keperluan harian, mereka turut berdepan dengan perbelanjaan persekolahan anak-anak seperti yuran, pakaian seragam, buku, alat tulis dan pengangkutan.

Keadaan ini bertambah mencabar apabila Ramadan dan Aidilfitri pula menuntut perbelanjaan tambahan bagi persiapan makanan, pakaian serta keperluan rumah.

Justeru, perancangan awal merupakan kunci utama bagi memastikan keluarga tidak terperangkap dalam tekanan kewangan atau terpaksa berhutang yang semakin menambah bebanan kewangan.

Antara langkah paling asas ialah menyediakan bajet bulanan yang realistik dengan membezakan antara keperluan dan kehendak.

Keutamaan perlu diberikan kepada perbelanjaan wajib seperti makanan, bil utiliti, pendidikan dan kesihatan sebelum memikirkan perbelanjaan bersifat kehendak lebih-lebih lagi melibatkan anak-anak.

Pada pandangan penulis, ibu bapa juga digalakkan memanfaatkan sepenuhnya tempoh jualan murah yang diadakan di merata-rata tempat sepanjang tempoh ini.

Pembelian awal barangan persekolahan atau keperluan hari raya ketika harga masih terkawal mampu mengurangkan beban kewangan pada saat akhir.

Artikel Berkaitan:

Namun, pembelian perlu dibuat berdasarkan keperluan sebenar dan bukannya kerana terpengaruh dengan promosi semata-mata.

Dalam menghadapi musim perayaan, amalan bersederhana wajar diterapkan dalam keluarga lebih-lebih lagi ketika harga barangan melambung tinggi.

Penyediaan juadah berbuka puasa dan hari raya misalnya tidak perlu berlebihan sehingga mengakibatkan pembaziran, utamakan makanan yang betul-betul perlu dan elakkan membuang begitu sahaja juadah yang dibeli di bazar Ramadan.

Adalah lebih baik sekiranya sepanjang Ramadan, mereka yang berkesempatan memasak sendiri juadah berbuka berbanding beli di bazar.

Amalan memasak sendiri ketika berbuka puasa secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan lagi perbelanjaan sekali gus mengelak daripada 'terbeli' barangan yang tidak perlu ketika berkunjung ke bazar Ramadan.

Bagi golongan B40, sebarang bantuan kerajaan seperti tunai, subsidi atau inisiatif pendidikan perlu dimanfaatkan sebaiknya dan digunakan untuk tujuan yang betul.

Bantuan tersebut seharusnya menjadi sokongan bagi menampung keperluan asas, bukannya dibelanjakan untuk perkara tidak perlu.

Jika terdapat lebihan, alangkah baik jika ia disimpan di dalam tabung untuk digunakan ketika tempoh 'kritikal' lain atau situasi luar jangka yang menuntut kepada perbelanjaan tambahan.

Selain itu, ibu bapa disaran mendidik anak-anak mengenai nilai wang dan kepentingan berjimat cermat agar mereka dapat menilai mana yang lebih perlu diutamakan dan mana yang perlu 'dikorbankan' dalam berbelanja.

Kesimpulannya, musim cuti persekolahan, tahun baharu, sesi persekolahan, Ramadan dan Aidilfitri sememangnya tidak dapat dielakkan, namun beban kewangan boleh dikawal dengan perancangan rapi, disiplin berbelanja dan amalan bersederhana.

*Norhaspida Yatim ialah wartawan Sinar Harian Terengganu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!