Pelantikan MB Perlis uji kesepaduan PN

PELANTIKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar baharu Perlis mencerminkan pergolakan politik dalaman Perikatan Nasional (PN) yang semakin sukar disembunyikan.
Reaksi daripada pemimpin Pas dan Bersatu susulan pelantikan tersebut menzahirkan ketegangan yang wujud antara dua parti teras dalam gabungan itu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap kestabilan kerjasama politik mereka.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian menegaskan bahawa keputusan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, perlu dilihat dalam kerangka raja berperlembagaan yang berfungsi sebagai penjaga Perlembagaan Negeri serta penstabil politik, khususnya apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) berada dalam situasi majoriti yang tidak kukuh.
Menurut beliau, pelantikan Abu Bakar turut mencerminkan keutamaan terhadap keupayaan membentuk kerajaan yang berfungsi, berbanding tunduk kepada dominasi mana-mana parti politik.
Kenyataan ini membawa makna yang lebih besar dalam konteks politik negeri Perlis, iaitu satu peralihan penting daripada politik berasaskan kuasa parti kepada keperluan tadbir urus yang stabil dan berkesan.
Isyarat peralihan itu juga memperlihatkan keletihan sistem politik terhadap konflik berpanjangan yang berpunca daripada persaingan dalaman gabungan.
Dalam konteks PN di Perlis, ketegangan antara Pas dan Bersatu bukanlah sesuatu yang baharu. Namun, pelantikan Menteri Besar kali ini menjadikan konflik tersebut lebih terbuka dan bersifat simbolik kerana ia menyentuh jawatan tertinggi dalam pentadbiran negeri.
Dalam jangka panjang, krisis politik di Perlis ini tidak boleh dilihat sekadar sebagai episod pertukaran Menteri Besar. Sebaliknya, ia membuka persoalan lebih besar mengenai masa depan kerjasama antara Pas dan Bersatu dalam PN.
Jika perbezaan strategi, perebutan pengaruh dan kegagalan mengurus konflik terus berlarutan, polemik di Perlis berpotensi menjadi petanda awal kepada keretakan yang lebih mendalam dalam gabungan tersebut.
Akhirnya, persoalan paling penting bukan lagi siapa yang menjadi Menteri Besar, tetapi sama ada Pas dan Bersatu masih mampu mengekalkan kepercayaan serta disiplin sebagai rakan gabungan atau Perlis sekadar menjadi contoh awal kepada rapuhnya kerjasama politik yang dibina atas kompromi sementara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

