Pulihkan projek perumahan terbengkalai segera - ADUN Kuala Sentul

KUANTAN – Kerajaan Pahang diminta supaya segera memulihkan projek perumahan terbengkalai di negeri ini bagi mengelakkan pembaziran masa, wang ringgit serta peluang pembinaan rumah untuk rakyat.
Gesaan itu dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri, susulan tindakan Kerajaan Pahang menamatkan tujuh daripada 10 projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) di negeri ini.
“Alhamdulillah, isu yang saya bangkitkan telah diambil tindakan oleh kerajaan negeri. Saya berharap kerajaan negeri dapat menyegerakan pemulihan projek ini,” katanya pada Rabu.
Menurut beliau, kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) wajar mempunyai mekanisme serta prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi memantau projek ‘sakit’ dan terbengkalai sekali gus mengelakkan masalah sama berulang.
Beliau menegaskan bahawa proses pemilihan pemaju dan kontraktor juga perlu dilaksanakan secara telus serta berasaskan keupayaan sebenar.
“Projek seharusnya diberikan kepada pemaju dan kontraktor perumahan yang mempunyai keupayaan serta pengalaman yang mencukupi.
“Terlalu banyak masa, wang ringgit dan peluang pembinaan rumah rakyat telah dibazirkan. Keadaan ini menyukarkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat negeri Pahang, khususnya golongan muda dan mereka yang baru membina keluarga,” katanya.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan bahawa tujuh daripada 10 projek PGBF di Pahang ditamatkan kerana gagal memenuhi syarat serta tidak menunjukkan sebarang kemajuan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, daripada jumlah itu tiga projek lain masih dalam pembinaan dan dipantau rapi oleh LPHP bagi memastikan ia dapat disiapkan serta ditawarkan kepada pembeli yang layak.
Ringkasan AI
- Kerajaan Pahang diminta memulihkan projek perumahan terbengkalai untuk mengelak pembaziran
- Gesaan pemulihan projek perumahan dibuat oleh ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri
- Terdapat tujuh daripada 10 projek Perumahan Generasi Baharu FELDA di Pahang yang telah ditamatkan
- Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang disarankan mempunyai SOP yang jelas dalam pemilihan pemaju dan kontraktor
- Pembaziran masa, wang, dan peluang pembinaan rumah mempersulitkan pemilikan rumah bagi golongan muda di Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

