Covid-19: Sarung tangan getah, minyak sawit Malaysia bantu dunia

Kakitangan Hospital Pakar KPJ Damansara mengendalikan ujian mudah alih pandu lalu Covid-19. -Foto Bernama
Kakitangan Hospital Pakar KPJ Damansara mengendalikan ujian mudah alih pandu lalu Covid-19. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Getah menjadi tumpuan di saat-saat sukar apabila transformasinya dalam bentuk sarung tangan terbukti menjadi penyelamat nyawa sehinggakan negara ekonomi terbesar dunia turut memuji produk komoditi keluaran Malaysia itu.

Malah Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di sini menerusi ciapan Twitter rasminya turut berkongsi maklumat bahawa 65 peratus atau 225 bilion helai sarung tangan yang digunakan oleh barisan wiranya - saintis, doktor, jururawat dan petugas di barisan hadapan, didatangkan dari Malaysia!

Ironinya, hanya beberapa bulan lepas, Malaysia dikecam AS atas dakwaan salah satu syarikat tempatan menggunakan khidmat buruh paksa dalam operasinya.

Berikutan itu, pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan AS bertindak menyekat import sarung tangan getah pakai buang keluaran syarikat berpejabat di Sepang, WRP Asia Pacific Sdn Bhd (WRP).

Bagaimana pun, lonjakan permintaan serta kekurangan bekalan susulan penularan pandemik COVID-19 menyebabkan AS tiada pilihan kecuali akur dan menarik balik sekatan terhadap syarikat itu pada 23 Mac lepas.

Walaupun permintaan AS terhadap sarung tangan getah adalah sebanyak 170 bilion helai atau 32 peratus daripada jumlah permintaan dunia, eksport WRP hanyalah mencecah tiga bilion helai yang mencerminkan langkah kecil syarikat itu sebelum meraih kejayaan di masa depan.

Di sudut lain, demi menampung lonjakan mendadak permintaan itu, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) terpaksa mendapatkan kebenaran kerajaan untuk beroperasi pada kapasiti penuh walaupun di tengah-tengah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Sejajar dengan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar terbesar sarung tangan perubatan, MARGMA juga perlu memastikan bekalan tersebut mencukupi untuk kegunaan hospital dan petugas kesihatan dalan usaha memerangi pandemik itu, kata Presiden persatuan, Dennis Low.

Artikel Berkaitan:

MARGMA dijangka menyumbang kira-kira 225 bilion helai sarung tangan pada tahun ini, iaitu kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan keperluan dunia.

Ketika industri sarung tangan getah berharap kerajaan mempertimbangkan rayuan itu, pengeluar tempatan satu lagi produk berasaskan getah iaitu kondom, menjangkakan berlakunya pengurangan mendadak produk itu berikutan perlu menggantung operasi susulan PKP itu.

Sebagai contoh, Karex Berhad yang mengeluarkan satu daripada lima kondom dunia, tidak mengeluarkan sebarang produk itu sejak 18 Mac lepas apabila PKP dikuatkuasakan.

Laporan media turut mengetengahkan kekurangan sehingga 100 juta kondom, lazimnya dipasarkan oleh jenama antarabangsa seperti Durex, yang dibekalkan kepada sistem penjagaan kesihatan negara seperti NHS Brjitain atau yang diedarkan oleh program bantuan seperti Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Susulan lanjutan tempoh PKP sehingga 14 April ini, bekalan kondom juga dikatakan berdepan tekanan dan kekurangan ketara itu berkemungkinan besar disusuli dengan kelahiran ramai bayi dalam tempoh 10 bulan atau seterusnya.

Dalam pada itu, minyak sawit Malaysia turut berperanan membantu dunia membendung Covid-19.

Minyak sayuran itu yang meletakkan Malaysia sebagai pengeluar utama, banyak digunakan sebagai pengganti bahan surfaktan berasaskan petroleum bagi tujuan pembuatan sabun dan pencuci.

“Bahan ini tidak hanya membersihkan tangan dan pakaian anda, tetapi turut membunuh kuman termasuk coronavirus,” kata Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Pengarah Eksekutif Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) Tan Sri Yusof Basiron menulis di akaun twitter beliau: “Minyak sawit membantu ketika musim coronavirus apabila kita perlu berada di rumah. Malah, usaha memasak lebih mudah dengan menggunakan minyak sawit yang harganya juga amat berpatutan!”

Secara purata, Malaysia mengeksport kira-kira 20 juta tan minyak sawit mentah dan kalangan penganalisis bimbang pengeluaran komoditi itu akan terjejas jika pandemik itu berlarutan dan mengekang keupayaan negara memenuhi permintaan global.

Jumlah simpanan minyak sawit Malaysia susut 4.2 peratus kepada 1.68 juta tan pada Februari 2020 daripada 1.76 juta tan pada bulan sebelumnya.- Bernama