Dilarang berniaga jika ada simptom Covid-19

MDHS melakukan nyah cemar di Pasar Awam Rasa, Hulu Selangor semalam.
MDHS melakukan nyah cemar di Pasar Awam Rasa, Hulu Selangor semalam.
A
A
A

HULU SELANGOR - Peniaga yang mempunyai simptom wabak koronavirus (Covid-19) tidak dibenarkan menjalankan perniagaan bagi mengelakkan risiko jangkitan kepada orang awam.

Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menerusi satu kenyataan memaklumkan peniaga juga tidak dibenarkan berada di pasar awam ketika proses nyah cemar dijalankan.

MDHS berkata, bagi mencegah jangkitan virus Covid-19, MDHS mengambil langkah melakukan semburan nyah cemar di Pasar Awam Rasa, Hulu Selangor semalam.

Semburan bahan nyah cemar di ruang gerai, besi railing, kepala pili air serta bahagian lain yang berisiko itu bermula pada jam 4.30 petang melibatkan enam kakitangan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam(JPSPPA).

"MDHS juga akan menjalankan operasi sama secara berjadual setiap hari di kesemua enam pasar awam milik MDHS iaitu Pasar Awam Sungai Buaya, Pasar Awam Serendah, Pasar Awam Batang Kali, Pasar Awam Rasa, Pasar Awam Kuala Kubu Bharu dan Pasar Awam Kalumpang.

"Ini demi memastikan keselamatan pengunjung di pasar tersebut serta mengekang penularan wabak Covid-19," menurut kenyataan MDHS itu

Menurut MDHS, peniaga hendaklah mematuhi syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan dan menjaga kebersihan pasar awam serta mengemas peralatan sendiri.

Menurut kenyataan itu, keselamatan peralatan perniagaan adalah di bawah tanggungan peniaga sendiri, tiada tuntutan boleh dibuat bagi kerosakan atau kemusnahan yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, MDHS juga akan melakukan semburan secara menyeluruh di premis termasuklah pejabat MDHS, pejabat cawangan, dewan seliaan majlis serta kemudahan awam yang lain seperti tandas awam, terminal bas, taman permainan dan lain-lain.

"Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan melakukan pelbagai usaha terbaik untuk memastikan rakyat kita selamat dan terhindar daripada virus ini.

"Sekarang bergantung kepada kepatuhan rakyat Malaysia," menurut kenyataan itu.