Siapakah Sharif Osman Hadi?

Puluhan ribu berkumpul untuk memberikan penghormatan terakhir selepas dua hari protes ganas tercetus susulan pembunuhan pemimpin mahasiswa berkenaan.- AFP
Puluhan ribu berkumpul untuk memberikan penghormatan terakhir selepas dua hari protes ganas tercetus susulan pembunuhan pemimpin mahasiswa berkenaan.- AFP
A
A
A

DHAKA – Bangladesh kini dilanda gelombang keganasan dan protes besar-besaran susulan kematian tokoh belia berpengaruh, Sharif Osman Hadi, yang meninggal dunia di Hospital Besar Singapura pada Khamis akibat kecederaan tembakan.

Kematian Hadi bukan sahaja mencetuskan bantahan jalanan di beberapa bandar utama, malah menyemarakkan sentimen anti-India serta serangan terhadap media tempatan yang dilihat pro-New Delhi.

Siapakah Sharif Osman Hadi?

Sharif Osman Hadi, 32, merupakan antara pemimpin utama kebangkitan mahasiswa Bangladesh pada tahun 2024.

Beliau bertindak sebagai jurucakap Inqilab Mancha atau Platform Revolusi, sebuah gabungan aktivis pelajar dan belia yang memainkan peranan penting dalam menjatuhkan kerajaan Perdana Menteri Sheikh Hasina tahun lalu.

Sharif Osman Hadi sosok utama ketika memimpin kebangkitan mahasiswa Bangladesh pada 2024.
Sharif Osman Hadi sosok utama ketika memimpin kebangkitan mahasiswa Bangladesh pada 2024.

Hadi juga merancang untuk bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen kawasan Dhaka-8 (Bijoynagar) dalam pilihan raya umum akan datang yang dijangka berlangsung pada Februari 2026.

Dikenali sebagai pengkritik lantang India, Hadi sering menuduh New Delhi campur tangan dalam politik dalaman Bangladesh, khususnya selepas Sheikh Hasina melarikan diri ke India susulan kebangkitan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana dan bila Hadi terbunuh?

Hadi cedera parah dalam cubaan pembunuhan pada 12 Disember 2025 di Dhaka apabila dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan ke arah kenderaan roda tiga elektrik yang dinaikinya.

Peluru mengenai kepalanya dan beliau dikejarkan ke Hospital Kolej Perubatan Dhaka.

Orang ramai menzahirkan rasa sedih ketika menghadiri upacara pengebumian Hadi. - AFP
Orang ramai menzahirkan rasa sedih ketika menghadiri upacara pengebumian Hadi. - AFP

Akibat kecederaan serius pada bahagian otak, Hadi dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Neurologi Hospital Besar Singapura pada 15 Disember. Meskipun menerima rawatan intensif, beliau menghembuskan nafas terakhir pada Khamis.

Tindak balas pihak berkuasa Bangladesh

Polis Bangladesh melancarkan operasi memburu suspek sejurus kejadian, dengan unit antikeganasan Rapid Action Battalion (RAB) turut digerakkan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan dua suspek berpakaian serba hitam telah diedarkan kepada umum.

Ganjaran sebanyak lima juta taka (RM167,700) ditawarkan bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan pelaku.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 20 individu dilaporkan ditahan bagi membantu siasatan.

Reaksi politik dan negara

Ketua kerajaan interim, Muhammad Yunus, menyifatkan kematian Hadi sebagai “kehilangan yang tidak terganti kepada negara” sambil menegaskan perjalanan Bangladesh ke arah demokrasi tidak boleh dihentikan melalui keganasan.

Kerajaan turut mengumumkan solat khas di masjid-masjid serta tempoh berkabung.

Berita kematian Hadi mencetuskan rusuhan di Dhaka dan beberapa bandar lain.

Penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Undang-Undang, selain mendesak penjenayah dibawa ke muka pengadilan.

Beberapa kumpulan bertindak menyerang pejabat akhbar Prothom Alo dan The Daily Star, yang dilihat mengambil pendirian pro-India.

Bangunan media dibakar, menyebabkan puluhan wartawan terperangkap selama beberapa jam sebelum diselamatkan.

Mengapa sentimen anti-India meningkat?

Kemarahan terhadap India berpunca daripada kepercayaan meluas bahawa New Delhi melindungi Sheikh Hasina serta didakwa menjadi destinasi pelarian suspek pembunuhan Hadi.

Api marak di bangunan akhbar The Daily Star di Dhaka ketika protes tercetus susulan kematian Hadi.- AFP
Api marak di bangunan akhbar The Daily Star di Dhaka ketika protes tercetus susulan kematian Hadi.- AFP

India juga dituduh menyokong pemerintahan Hasina sepanjang 17 tahun, yang disifatkan penuh penindasan.

Insiden ini sekali lagi mendedahkan ketegangan mendalam dalam hubungan Bangladesh–India, khususnya ketika negara itu bersiap menghadapi pilihan raya pasca-revolusi. – Agensi

 

 

Ringkasan AI

  • Bangladesh dilanda gelombang keganasan dan protes besar-besaran selepas kematian Sharif Osman Hadi akibat kecederaan tembakan
  • Kematian Hadi mencetuskan bantahan jalanan dan sentimen anti-India serta serangan terhadap media pro-New Delhi
  • Sharif Osman Hadi, pemimpin utama kebangkitan mahasiswa, merancang untuk bertanding dalam pilihan raya umum sebagai calon Bebas
  • Hadi cedera parah dalam cubaan pembunuhan dan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura akibat kecederaan pada otak
  • Polis Bangladesh melancarkan operasi memburu suspek dengan bantuan rakaman CCTV dan menawarkan ganjaran bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan pelaku

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!