Sentuhan insani Tiga Abdul

BULAT air kerana pembetung, bulat masyarakat kerana muafakat.
Itulah bidalan yang menggambarkan semangat kerjasama masyarakat di daerah Kuala Langat, Selangor yang komited menyediakan kemudahan pinjaman katil hospital kepada golongan pesakit terlantar.
Bagi penyelaras pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Tiga Abdul, Azman Shah Mansor, 59, sumbangan peralatan yang bernilai kira-kira RM3,000 seunit itu bertujuan membantu penduduk kampung sekitar Kuala Langat yang memerlukan katil hospital bagi rawatan di rumah.

Menurutnya, idea menyediakan bantuan katil hospital tercetus sejak beliau bersama dua sahabatnya, Moh Muslimen Omar, 57, dan Hussaini Soib, 46, aktif membantu masyarakat semasa pandemik Covid-19.
“Denyut nadi kesusahan rakyat, saya dan rakan-rakan dapat rasakan. Program hari ini adalah manifestasi keprihatinan kami untuk mengagihkan bantuan katil hospital dengan sokongan syarikat korporat dan ahli-ahli kariah masjid.
“Kami ingin mengetengahkan peranan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah dan laungan azan, tetapi juga sebagai pusat pengagihan katil hospital di daerah ini.
“Setakat ini, kami mempunyai lebih 200 buah katil yang diagihkan dalam tiga kategori iaitu milik masjid, katil daripada NGO kami sendiri dan sumbangan pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengagihan katil hospital oleh NGO Tiga Abdul kepada pengurusan kariah Mukim Bandar/Jugra, Mukim Tanjung Dua Belas (1) dan Mukim Tanjung Dua Belas (2) di perkarangan Pejabat Penghulu Mukim Bandar, Permatang Pasir, di sini, baru-baru ini.
Azman berkata, selain sumbangan pihak korporat, banyak katil hospital yang diagihkan diperoleh daripada individu perseorangan yang tidak lagi menggunakannya.
“Ada kes katil hospital dibiarkan berpanas dan berhujan di halaman rumah atau tersadai di dalam stor. Justeru, kami mengambil inisiatif memohon kebenaran pemilik untuk menyerahkan katil tersebut kepada kami supaya dapat dibaiki dan digunakan semula,” katanya.
Menurutnya, usaha itu mendapat kerjasama baik daripada penyumbang yang komited meneruskan khidmat katil hospital yang pernah digunakan oleh ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Kampung Permatang Pasir, Herman Mohamad Helmi Lokman Hakim, 45, berkata, sumbangan katil hospital oleh NGO Tiga Abdul memudahkan rawatan pesakit terlantar di rumah kerana ia boleh dilaraskan mengikut keselesaan pesakit.
“Sumbangan katil hospital yang perlu dipulangkan semula selepas tidak digunakan ini ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.
“Sebelum ini memang wujud keperluan mendapatkan katil hospital di kampung ini dan kawasan berhampiran, malah kami terpaksa mencarinya di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata, kolaborasi dengan NGO Tiga Abdul amat melegakan kerana memudahkan urusan kebajikan penduduk kampung yang memerlukan rawatan jangka panjang.
Bagi Ketua Kampung Sungai Buaya, Saifol Kahar Mohd Ramni, 54, sumbangan katil hospital itu amat bermakna terutama kepada golongan B40 yang berdepan kekangan kewangan.
“Sumbangan ini amat kami hargai. Kemudahan ini pasti melegakan penduduk yang terlantar sakit dan sukar bergerak di pembaringan,” ujar beliau.
Ringkasan AI
- NGO Tiga Abdul menyediakan bantuan katil hospital bagi golongan pesakit terlantar sekitar Kuala Langat dengan sumbangan peralatan bernilai kira-kira RM3,000 seunit
- Idea menyediakan katil hospital tercetus semasa pandemik Covid-19 dengan kerjasama syarikat korporat dan ahli masjid
- Lebih 200 buah katil diagihkan dalam tiga kategori; milik masjid, daripada NGO Tiga Abdul, dan sumbangan pihak lain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
