'Saya tidak peduli diketawakan' - Prabowo

Prabowo Subianto.-Agensi
Prabowo Subianto.-Agensi
A
A
A

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengakui sering menjadi bahan ejekan apabila beliau bercakap mengenai kewujudan kuasa asing yang tidak menginginkan Indonesia maju, namun menegaskan perkara itu tidak sedikit pun melemahkan pendiriannya.

“Saya tidak peduli. Apabila saya bercakap mengenai kuasa asing, saya diketawakan.

"Saya dipilih dan dilantik oleh rakyat Indonesia. Saya sanggup mati demi rakyat Indonesia. Bagi saya, mati untuk rakyat adalah satu kehormatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan hasil penyelamatan kewangan negara oleh Pejabat Peguam Negara (Kejaksaan Agung) di Jakarta Selatan, pada Rabu.

Prabowo menjelaskan kenyataannya itu susulan kebimbangan terhadap ketirisan dalam pengurusan belanjawan dan kekayaan sumber asli, yang menurutnya boleh membawa kesan buruk kepada sesebuah negara.

Beliau mengumpamakan negara seperti tubuh manusia, manakala kekayaan negara ibarat darah yang mengalir dalam badan.

“Negara itu ibarat tubuh manusia. Kekayaan dan wang adalah darah. Jika tubuh manusia bocor sedikit demi sedikit setiap hari, akhirnya tubuh itu akan runtuh dan mati,” katanya.

Menurut beliau, situasi sama berlaku kepada negara sekiranya kekayaan terus tiris akibat rompakan, kecurian, laporan palsu, rasuah, serta kegiatan penyeludupan keluar dan masuk negara.

“Jika kekayaan kita terus bocor, dirompak dan dicuri, bagaimana negara boleh bertahan? Inilah yang dikehendaki oleh beberapa kuasa,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengakhiri ucapannya, Prabowo menyeru semua pihak agar melakukan yang terbaik demi masa depan bangsa Indonesia, sambil menegaskan bahawa membela rakyat adalah satu tugas yang mulia dan terhormat.

“Apa yang kita kejar dalam hidup ini? Gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama,” katanya.

Beliau menegaskan adalah lebih mulia jika seseorang meninggal dunia dalam keadaan membela kebenaran, mempertahankan rakyat dan menyelamatkan masa depan negara, sebelum menghadap Tuhan dengan penuh keikhlasan.- Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!