Kenderaan nombor plat asing kekal tidak dibenarkan beli RON95

Amir Hamzah (tengah) pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia 13 (RMK 13) Zon Utara, di sini pada Selasa.
Amir Hamzah (tengah) pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia 13 (RMK 13) Zon Utara, di sini pada Selasa.
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan menegaskan kenderaan berdaftar dengan nombor plat asing kekal tidak dibenarkan membeli petrol RON95 dan hanya dibenarkan membeli RON97 seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, hanya rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

"Selain itu, warga asing yang bermastautin di Malaysia dan menggunakan kenderaan berdaftar dalam negara dibenarkan membeli RON95 pada harga pasaran yang akan diumumkan hujung bulan nanti.

"Namun, bagi kenderaan berdaftar luar negara seperti Thailand, Indonesia atau Singapura, mereka hanya dibenarkan membeli RON97, seperti ketetapan sedia ada,"katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia 13 (RMK 13) Zon Utara, di sini pada Selasa.

Mengulas kebimbangan sama ada kelonggaran pembelian tanpa subsidi kepada warga asing boleh menjejaskan bekalan untuk rakyat tempatan, beliau menegaskan tidak akan timbul isu kekurangan.

“Tiada masalah dari segi logistik atau bekalan kerana kereta plat asing tetap tidak dibenarkan membeli RON95, walaupun harga diapungkan.

"Mereka hanya boleh membeli RON97 yang kekal dalam sistem harga terapung (free float),” jelasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula Selasa depan.

Bagaimanapun mekanisme pelaksanaan dijalankan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan dan menguji sistem sebelum dibuka sepenuhnya kepada lebih 16 juta pengguna yang layak.

Artikel Berkaitan:

Bermula Sabtu ini, anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama menikmati harga baharu sebagai langkah percubaan.

Golongan B40 dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula akan menerima manfaat pada 28 September sebelum dibuka kepada semua warganegara pada 30 September.

Bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.

 

Ringkasan AI

  • Kenderaan berdaftar dengan nombor plat asing tidak dibenarkan membeli petrol RON95
  • Hanya rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi RON95
  • Warga asing yang bermastautin di Malaysia dan menggunakan kenderaan berdaftar dalam negara dibenarkan membeli RON95 pada harga pasaran
  • RON97 kekal dalam sistem harga terapung dan boleh dibeli oleh kereta plat asing
  • Harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula Selasa depan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!