PM sambut baik gencatan senjata Kemboja-Thailand

Kemboja dan Thailand bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta berkuat kuasa tengah hari (waktu tempatan) pada Sabtu, sekali gus menamatkan konflik yang kembali memuncak pada 7 Disember. Foto Facebook Anwar Ibrahim/Kementerian Penerangan, Kemboja
Kemboja dan Thailand bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta berkuat kuasa tengah hari (waktu tempatan) pada Sabtu, sekali gus menamatkan konflik yang kembali memuncak pada 7 Disember. Foto Facebook Anwar Ibrahim/Kementerian Penerangan, Kemboja
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik gencatan senjata serta-merta antara Kemboja dengan Thailand yang berkuat kuasa pada 12 tengah hari, Sabtu.

Dalam hantaran Facebook pada Sabtu, Anwar berkata, keputusan untuk menghentikan pertempuran dan mengekalkan pasukan di kedudukan masing-masing, mencerminkan pengiktirafan bersama untuk mengawal diri, khususnya demi kepentingan orang awam.

Beliau berkata, Kenyataan Bersama berhubung gencatan senjata itu menggariskan langkah-langkah praktikal dan positif, termasuk pengesahan oleh Pasukan Pemerhati ASEAN dan komunikasi secara langsung antara pihak berkuasa pertahanan.

"Langkah ini menyediakan asas kepada kestabilan, dan saya berharap kedua-dua pihak akan melaksanakannya dengan penuh komitmen.

"Ketika Malaysia menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Filipina pada tengah malam 1 Januari 2026, kami akan menyokong semua usaha untuk memastikan komitmen ini dipatuhi serta kredibiliti dan maruah ASEAN sebagai rantau aman terus terpelihara," kata beliau.

Kemboja dan Thailand bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta berkuat kuasa tengah hari (waktu tempatan) pada Sabtu, sekali gus menamatkan konflik yang kembali memuncak pada 7 Disember.

Menteri pertahanan kedua-dua negara menandatangani Kenyataan Bersama Mesyuarat Khas Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) Ketiga pada pagi Sabtu, iaitu hari ketiga mesyuarat berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik gencatan senjata antara Kemboja dengan Thailand
  • Gencatan senjata berkuat kuasa pada tengah hari Sabtu
  • Gencatan senjata mencerminkan pengiktirafan bersama untuk mengawal diri untuk kepentingan orang awam
  • Kenyataan Bersama menggariskan langkah-langkah praktikal termasuk pengesahan oleh Pasukan Pemerhati ASEAN
  • Malaysia akan menyokong usaha memastikan komitmen gencatan senjata dipatuhi semasa menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Filipina pada 1 Januari 2026

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!