Perjanjian Perdagangan: AS sasar mineral kritikal Indonesia

Presiden Prabowo Subianto berbual dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Donald Trump, semasa Sidang Kemuncak Gaza di Sharm el-Sheikh pada 13 Oktober 2025.-Foto Ihsan Biro Akhbar Presiden.
Presiden Prabowo Subianto berbual dengan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Donald Trump, semasa Sidang Kemuncak Gaza di Sharm el-Sheikh pada 13 Oktober 2025.-Foto Ihsan Biro Akhbar Presiden.
A
A
A

JAKARTA – Amerika Syarikat (AS) menyatakan minat untuk mendapatkan mineral kritikal dari Indonesia bagi kegunaan sektor automotif dan pembuatan senjata pertahanan, susulan persetujuan kedua-dua negara menyelesaikan isu utama dalam rundingan perjanjian perdagangan yang dijangka dimeterai tidak lama lagi.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto berkata, perkara itu dibangkitkan semasa rundingan tarif terbaharu bersama Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, di Washington.

Menurut Airlangga, perjanjian perdagangan berkenaan dijangka ditandatangani oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dan rakan sejawatannya dari AS, Donald Trump, menjelang akhir Januari.

“AS memerlukan akses kepada mineral kritikal untuk industri automotif, pesawat, enjin roket dan pembuatan pertahanan,” kata Airlangga kepada media di Jakarta pada Jumaat.

Beliau berkata, Washington menegaskan kepentingan untuk memperluas bekalan mineral kritikal, termasuk tembaga, yang menjadi komponen utama dalam pelbagai sistem pertahanan seperti pesawat, kapal selam dan peluru.

Airlangga turut memaklumkan bahawa Dana Kekayaan Berdaulat Indonesia, Danantara, telah mengadakan perbincangan dengan pihak AS dalam format perniagaan-ke-perniagaan.

Danantara mengurus syarikat milik negara Indonesia, dengan MIND ID sebagai teras perniagaan perlombongan.

Cawangan tempatan syarikat perlombongan gergasi AS, Freeport, merupakan anak syarikat MIND ID.

Freeport telah beroperasi di Indonesia sejak 1967 dan mengendalikan salah satu lombong tembaga dan emas terbesar di dunia, selain melabur AS$3.7 bilion (RM15.1 bilion) dalam pembinaan loji peleburan tembaga di Gresik, Jawa Timur.

Artikel Berkaitan:

“Ini membuktikan kerjasama mineral kritikal bukan perkara baharu,” kata Airlangga, sambil memberi bayangan minat AS terhadap nikel dan unsur nadir bumi lain.

Beliau turut menyebut Vale Indonesia, syarikat perlombongan nikel di bawah MIND ID, dan menyatakan kerjasama itu berpotensi membuka laluan kepada syarikat automotif gergasi AS seperti Ford serta pengeluar kenderaan elektrik Tesla untuk mendapatkan mineral Indonesia bagi pengeluaran bateri.

Bagaimanapun, Airlangga tidak memperincikan aspek teknikal kerjasama mineral kritikal tersebut.

Nikel merupakan bahan penting dalam aloi aeroangkasa dan komponen kimia bagi bateri litium-ion.

Di bawah pentadbiran Trump 2.0, AS dilaporkan meningkatkan pelaburan dalam sektor pertahanan.

Melalui One Big Beautiful Bill Act, kerajaan AS memperuntukkan AS$7.5 bilion ( RM30.5 bilion) bagi pembiayaan mineral kritikal untuk Jabatan Pertahanan, termasuk AS$2 bilion (RM8.1 bilion) untuk memperluas simpanan logam strategik dan AS$5 bilion ( RM20.4 bilion) bagi pengukuhan rantaian bekalan.

Langkah itu bertujuan memastikan AS mempunyai akses kepada bahan pertahanan penting ketika berdepan situasi kecemasan.

Pada Julai lalu, Trump menyifatkan Indonesia sebagai negara yang “sangat kuat dalam tembaga”, sambil menyatakan perjanjian perdagangan tersebut akan membolehkan AS memperoleh “akses penuh” kepada mineral berkenaan.

“Indonesia mempunyai produk yang hebat. Mereka memiliki unsur bumi bernilai tinggi dan pelbagai bahan lain. Salah satu yang terkenal ialah tembaga berkualiti tinggi, yang akan kami gunakan,” kata Trump ketika itu.

Rumah Putih pada bulan sama turut mengumumkan rangka kerja awal perjanjian perdagangan tersebut, yang menyatakan Indonesia akan menghapuskan sekatan eksport ke AS bagi komoditi industri termasuk mineral kritikal.

Rundingan perjanjian itu bermula selepas Trump melancarkan kempen tarif terhadap Indonesia dan negara lain pada April lalu.-Agensi

Ringkasan AI

  • Amerika Syarikat minat mendapatkan mineral kritikal dari Indonesia untuk industri automotif dan pertahanan
  • Perjanjian perdagangan antara AS dan Indonesia dijangka ditandatangani menjelang akhir Januari
  • AS memerlukan akses kepada tembaga yang merupakan komponen utama dalam sistem pertahanan
  • Kerjasama ini membuka peluang bagi syarikat automotif AS seperti Ford dan Tesla mendapatkan mineral untuk pengeluaran bateri
  • AS meningkatkan pelaburan dalam sektor pertahanan dan memperuntukkan dana besar bagi membiayai mineral kritikal

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!