Kos pembaikan sistem pendawaian elektrik Flat Seri Perantau RM1.7 juta - Exco

Laporan Sinar Harian mengenai penderitaan penghuni Flat Seri Perantau akibat ketiadaan bekalan elektrik. Gambar kecil: Borhan
Laporan Sinar Harian mengenai penderitaan penghuni Flat Seri Perantau akibat ketiadaan bekalan elektrik. Gambar kecil: Borhan
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Kos keseluruhan pembaikan sistem pendawaian elektrik membabitkan 128 unit kediaman di Blok C, Flat Seri Perantau di sini dianggarkan kira-kira RM1.7 juta bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan selamat dan mematuhi standard teknikal ditetapkan.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, anggaran itu dibuat selepas pemeriksaan teknikal menyeluruh mendapati skop kerja pembaikan lebih luas daripada jangkaan awal susulan kebakaran di bilik papan agihan elektrik (DB) pada 7 Disember lalu.

Menurut beliau, maklum balas daripada badan pengurusan bersama (JMB) menunjukkan kos pembaikan tinggi kerana ia melibatkan kerja menyeluruh bagi setiap unit kediaman termasuk sistem keselamatan bangunan.

"Anggaran awal kos pembaikan sekitar RM520,000, namun selepas semakan menyeluruh dibuat, jumlah keseluruhan meningkat kepada hampir RM1.7 juta," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Blok C, Pangsapuri Seri Perantau bagi meninjau keadaan sebenar penduduk.

Borhan berkata, jumlah itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan agensi teknikal lain bagi memastikan kerja pembaikan dapat disegerakan serta kos diurus dengan berkesan,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan Selangor akan mengadakan mesyuarat pada Isnin depan bersama pihak pengurusan dan semua agensi berkaitan termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi menentukan tindakan pembaikan secara menyeluruh serta memastikan kerja dilaksanakan segera dan teratur.

"Keputusan yang dibuat nanti akan mengambil kira aspek keselamatan penduduk dan risiko teknikal serta kewangan sebelum sebarang kerja pembaikan dan penyaluran semula bekalan elektrik dilaksanakan supaya tidak berlaku litar pintas atau kos tambahan," ujar beliau.

Borhan berkata, kebakaran di bilik DB itu menyebabkan kerosakan serius terhadap keseluruhan sistem pendawaian elektrik Blok C, sekali gus menjejaskan bekalan elektrik sebahagian besar unit kediaman dan kehidupan seharian penduduk.

Katanya, ketiadaan bekalan elektrik memberi kesan besar termasuk pergerakan dalam bangunan yang bergantung kepada lif dan gangguan bekalan air berikutan pam tidak dapat berfungsi.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, pemeriksaan teknikal mendapati hanya sebahagian kecil unit kediaman dapat menerima bekalan sementara melalui kaedah bekalan pintasan (bypass) yang disediakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Kaedah bekalan pintasan ini tidak boleh dilaksanakan sepenuhnya kerana terdapat risiko litar pintas semula terutama melibatkan DB yang telah terbakar.

"Pelaksanaan tanpa pemeriksaan teknikal boleh membahayakan penduduk,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kebakaran di bilik DB Blok C Flat Seri Perantau pada 7 Disember lalu memusnahkan sistem pendawaian bangunan itu sekali gus menjejaskan kira-kira 600 penduduk melibatkan 128 unit kediaman.

 

 

Ringkasan AI

  • Kos pembaikan sistem pendawaian elektrik di Blok C, Flat Seri Perantau adalah kira-kira RM1.7 juta
  • Kos pembaikan meningkat dari anggaran awal RM520,000 selepas pemeriksaan teknikal menyeluruh
  • Kerjasama antara PKNS, TNB, dan agensi teknikal diperlukan untuk memastikan kerja pembaikan efektif
  • Kerajaan Selangor akan mengadakan mesyuarat untuk tindakan pembaikan menyeluruh dan segera
  • Kebakaran pada 7 Disember menyebabkan kerosakan sistem pendawaian dan memberi kesan besar kepada penduduk

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!