Bekas guru Matematik jadi pelajar terbaik maktab al-Quran

MAQAT meraikan 81 pelajarnya yang menduduki ujian lisan dan bertulis dengan 26 pelajar memperoleh keputusan mumtaz manakala 55 lagi lulus, membabitkan pelajar berusia antara 50 hingga 70 tahun.
MAQAT meraikan 81 pelajarnya yang menduduki ujian lisan dan bertulis dengan 26 pelajar memperoleh keputusan mumtaz manakala 55 lagi lulus, membabitkan pelajar berusia antara 50 hingga 70 tahun.
A
A
A

IPOH - Ketika kebanyakan rakan seusia memilih untuk berehat, Rehiza Arshad, 60, membuktikan bahawa menuntut ilmu tidak pernah mengenal usia apabila dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Maktab A-Quran At-Tayyibin (MAQAT), Tanah Hitam di sini.

Bekas guru Matematik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Mohd Taib dekat Chemor itu menerima pengiktirafan berkenaan pada Hari Keluarga dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar MAQAT, baru-baru ini bagi menghargai pelajar yang cemerlang serta berjaya memperbaiki penguasaan bacaan dan kefahaman al-Quran.

Rehiza yang berasal dari Segamat, Johor berkata, keputusannya menyertai MAQAT sejak tahun 2024 didorong oleh keinginan memperbaiki sebutan makhraj dan sifat huruf dalam bacaan al-Quran, selain tertarik dengan kaedah pengajian secara bertalaqi dan bersanad yang ditawarkan.

Rehiza (tiga dari kanan) bersama Mohd Shahrul (kanan) dan barisan pelajar terbaik yang diraikan sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar MAQAT.
Rehiza (tiga dari kanan) bersama Mohd Shahrul (kanan) dan barisan pelajar terbaik yang diraikan sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar MAQAT.

“Pada usia begini, saya rasa tanggungjawab untuk memperbaiki bacaan al-Quran itu lebih besar.

"Saya sangat bersyukur kerana di sini guru-gurunya istiqamah dan kelas berjalan setiap hari Isnin hingga Jumaat," katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, kejayaan dinobatkan sebagai pelajar terbaik menjadi dorongan untuk terus menambah ilmu serta berkongsi pengetahuan yang diperoleh dengan masyarakat sekeliling.

Rehiza sebelum ini pernah menamatkan Diploma Perniagaantani, Ijazah Pendidikan Matematik serta Kursus Perguruan Lepasan Diploma, selain pernah dinobatkan sebagai pelajar terbaik di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, menjadikan pengiktirafan kali ini sebagai graduasi keempat dalam perjalanan akademiknya.

Artikel Berkaitan:

MAQAT kini mempunyai seramai 150 pelajar yang kebanyakannya merupakan pesara kerajaan, guru, jururawat, pensyarah dan suri rumah.
MAQAT kini mempunyai seramai 150 pelajar yang kebanyakannya merupakan pesara kerajaan, guru, jururawat, pensyarah dan suri rumah.

Sementara itu, Mudir MAQAT, Mohd Shahrul Rabani berkata, majlis tersebut merupakan penganjuran kali ketiga dan bertujuan menjenamakan kelas pengajian al-Quran dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya golongan dewasa dan warga emas.

Menurutnya, seramai 81 pelajar menduduki enam penilaian melibatkan ujian lisan dan bertulis, dengan 26 pelajar memperoleh keputusan mumtaz manakala 55 lagi lulus, membabitkan pelajar berusia antara 50 hingga 70 tahun.

“MAQAT kini mempunyai seramai 150 pelajar yang kebanyakannya merupakan pesara kerajaan, guru, jururawat, pensyarah dan suri rumah,” katanya.

Beliau berkata, selain pengajian al-Quran secara bertalaqi, MAQAT turut menawarkan pengajian al-Quran bersanad, kelas tajwid serta kuliah ilmu seperti tauhid, feqah, tasawuf dan faraid yang dikendalikan oleh asatizah bertauliah dan diiktiraf.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!