Konvoi kemanusiaan bawa bendera Aceh bertukar tegang

BANDA ACEH – Suasana konvoi kemanusiaan yang membawa bendera Bulan Bintang (bendera Aceh) bertukar tegang apabila seorang peserta ditahan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) selepas didapati memiliki sepucuk pistol separa automatik di kawasan Kandang, Lhokseumawe, Aceh Utara pada Khamis.
Konvoi yang bermula dari Kabupaten Pidie itu dalam perjalanan menuju Aceh Tamiang bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir, melalui laluan utama Medan–Banda Aceh.
Menurut maklumat yang diperoleh, insiden tercetus apabila rombongan itu berhenti dan mengadakan pidato terbuka, sebelum diminta bersurai oleh anggota TNI dari Korem Lilawangsa yang menjalankan pemantauan keselamatan.
Tindakan tersebut mencetuskan ketegangan sehingga berlaku pergelutan antara sebahagian peserta konvoi dan anggota keselamatan.
Keadaan dilaporkan semakin panas apabila anggota TNI bertindak merampas bendera yang dibawa peserta, manakala terdapat dakwaan beberapa individu dipukul menggunakan belakang senjata api ketika usaha meleraikan keadaan.

Dalam kekecohan itu, pihak keselamatan menemui sepucuk pistol separa automatik yang dipercayai milik salah seorang peserta konvoi, sebelum individu terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.
Komander Korem Lilawangsa dilaporkan turun padang bagi mengawal keadaan bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk.
Sehingga berita ini ditulis, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung jumlah tangkapan atau status siasatan terhadap insiden tersebut.
Bagaimanapun, situasi berbeza dilaporkan di beberapa daerah lain termasuk Bireuen, apabila konvoi sama bergerak dengan aman di bawah pemantauan polis dan TNI, selain dikawal oleh bekas anggota Gerakan Aceh Merdeka (GAM) bagi memastikan keadaan kekal terkawal.
Konvoi yang disertai puluhan kenderaan dan ratusan peserta itu dilaporkan membawa bantuan berupa makanan dan pakaian, sambil mengibarkan bendera Bulan Bintang.
Beberapa peserta turut melaungkan slogan ketika persiapan berlepas dari Masjid Abu Beureueh, Beureunuen, Pidie.
Rakaman kejadian di Lhokseumawe turut tular di media sosial menerusi rakaman siaran langsung penduduk setempat.
Pihak berkuasa dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut bagi memperjelaskan insiden tersebut serta memastikan keselamatan awam terus terpelihara. - Agensi
Ringkasan AI
- Suasana konvoi kemanusiaan membawa bendera Aceh bertukar tegang apabila seorang peserta ditahan kerana memiliki pistol di Aceh Utara
- Konvoi bertujuan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir melalui laluan utama Medan–Banda Aceh
- Ketegangan bermula saat peserta konvoi berhenti untuk pidato terbuka sebelum diminta bersurai oleh anggota TNI
- Anggota TNI merampas bendera dan kekecohan pecah dengan dakwaan beberapa individu dipukul
- Situasi dilaporkan berbeza di beberapa daerah lain dimana konvoi bergerak dengan aman dibawah pemantauan polis dan TNI
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

