Bersatu didesak ambil tindakan tegas terhadap lima ADUN di Perlis

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digesa mengambil tindakan segera dan tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Perlis yang terlibat menandatangani Akuan Bersumpah (SD).
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, terdapat lima ADUN daripada Bersatu yang terlibat dalam menarik balik sokongan terhadap kepimpinan bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik di negeri itu.
"Bersatu digesa segera ambil tindakan tegas kepada lima ADUN parti tersebut yang menyatakan hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Perlis sebelum ini.
"Kegagalan berbuat demikian dibimbangi boleh menjadi isyarat bahawa Bersatu sudah tidak berminat untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN)," katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Terdahulu, Pas mengumumkan keahlian tiga ADUN mereka terhenti serta-merta selepas dikaitkan dengan tindakan mengemukakan SD menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri.
Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
Sementara itu, media melaporkan, lima ahli Bersatu yang didakwa turut menandatangani SD tersebut ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis); Izizam Ibrahim (Titi Tinggi); Megat Hashirat Hassan (Pauh); Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).
Terdahulu, media tempatan melaporkan berlaku pergolakan dalam PN Perlis dan kelapan-lapan wakil rakyat terbabit didakwa telah menyerahkan SD berkenaan kepada pihak Istana Perlis pada Jumaat lalu.
Sebagai rekod, Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, PN mencipta sejarah apabila memenangi 14 kerusi (Pas 9, Bersatu 5) manakala Pakatan Harapan (PKR) memenangi satu kerusi di DUN Indera Kayangan.
Ringkasan AI
- Parti Pribumi Bersatu Malaysia digesa mengambil tindakan tegas terhadap lima ADUNnya di Perlis yang terlibat menandatangani SD menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar Mohd Shukri Ramli
- Pas mengumumkan keahlian tiga ADUN mereka terhenti selepas terlibat dengan SD yang sama
- Lima ADUN Bersatu yang didakwa turut menandatangani SD ialah Abu Bakar Hamzah, Izizam Ibrahim, Megat Hashirat Hassan, Wan Zikri Afthar Ishak, dan Marzita Mansor
- Kegagalan Bersatu mengambil tindakan dikhawatirkan akan menjejaskan kerjasama politik dengan Pas dalam Perikatan Nasional
- Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dan PN memenangi 14 kerusi dalam PRU15, dengan Pas memenangi 9 dan Bersatu 5, sementara Pakatan Harapan memenangi 1 kerusi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
