'Zizie Izette untung tidak cerita, rugi pun dia tak beritahu' – Bung Moktar

Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad.
Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengakui di Mahkamah Sesyen pada Rabu bahawa isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad giat menjalankan perniagaan sejak 2010.

Bagaimanapun, Bung Moktar yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-66 pada 15 September ini berkata, perniagaan berkenaan dihentikan ketika penularan Covid-19.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata demikian ketika prosiding bela diri hari kedua atas tiga kes rasuah, manakala kes bersubahat membabitkan Zizie Izette, 47, didengar di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How bahawa pelakon terbaik Anugerah Skrin 2001 bagi drama ‘Aduhai Esah’ itu menjalankan pelbagai pelaburan.

Pendakwaan: Setujukah dengan cadangan saya bahawa Datin Seri Zizie Izette akan berkongsi jika pelaburan itu untung mahu pun rugi?

Bung Moktar: Untung tidak cerita, rugi pun dia tak beritahu.

Pendakwaan: Datin Seri Zizie Izette seorang yang kurang bercerita dan tidak banyak berbincang?

Bung Moktar: Ya.

Pendakwaan: Saya cadangkan Datuk Seri kononnya tidak tahu apa-apa mengenai harta dan punca pendapatan Datin Seri Zizie Izette?

Artikel Berkaitan:

Bung Moktar: Bukan konon, saya sememangnya tidak tahu apa-apa.

Dalam pada itu, Pengerusi BN Sabah itu turut ditanya mengenai wang pengenalan daripada dua ejen pelaburan Public Mutual berjumlah RM2.8 juta yang diterima bekas pelakon berkenaan.

Bung Moktar mengulangi pendirian bahawa perkara itu hanya diketahui selepas beliau dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya tidak pasti sama ada isteri melabur RM1 juta dalam unit amanah melalui ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar.

“Tiada sebarang tindakan dibuat kerana kami telah disiasat pihak berkuasa, jadi memang tiada keperluan saya buat laporan polis,” katanya semasa sesi pemeriksaan balas.

Chin How mencadangkan, jika laporan atau tindakan awal diambil, ia sekurang-kurangnya akan membersihkan nama baik ahli politik terbabit.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad dan akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya.

Dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015 dan 12.16 tengah hari pada 19 Jun tahun sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette pada masa dan lokasi sama, jam 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama di lokasi, tarikh dan masa serupa.

 

 

Prosiding bersambung Khamis.

END

Artikel Berkaitan:

https://www.sinarharian.com.my/article/729897/berita/semasa/bung-moktar-zizie-izette-gagal-semak-keputusan-bela-diri-rasuah-rm28-juta

https://www.sinarharian.com.my/article/689961/berita/semasa/video-keputusan-bung-moktar-zizie-izette-kes-rasuah-rm28-juta-18-november

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!