Hujan bom bertubi-tubi, penduduk Gaza terus dibayangi ketakutan

KHAN YUNIS - Umm Ahmed sekali lagi cuba menenangkan anaknya yang ketakutan selepas hujan bom kembali menggegar kawasan Khan Yunis di selatan Genting Gaza.
Rejim Zionis didakwa melancarkan serangan dron dan artileri ke kawasan penempatan penduduk Palestin berhampiran Garisan Kuning yang menjadi penanda sempadan sejak gencatan senjata rapuh berkuat kuasa sejak 10 Oktober lalu.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memberi alasan askar mereka terus ditempatkan di kawasan itu kononnya seperti terkandung dalam rangka kerja tempoh bertenang yang dipersetujui bersama Hamas.
Ribuan penduduk Palestin kini bimbang jika mereka dipaksa berpindah ke barat Garisan Kuning.

"Kami tidak lagi dapat melelapkan mata pada waktu malam kerana Zionis mengebom kawasan timur bertalu-talu.
"Anak-anak saya sentiasa resah setiap kali kawasan kami digegarkan dengan letupan. Mereka asyik bertanya ke mana lagi mahu pergi untuk berlindung. Saya sendiri tiada jawapan," ujar Umm Ahmed, 40, yang kini tinggal di bawah khemah sementara di tapak runtuhan rumahnya di Bani Suheila yang musnah dibedil.
Merentasi Garisan Kuning ke al-Mawasi, barat Khan Yunis bukanlah satu pilihan bagi keluarganya kerana keadaan sekarang yang terlalu sesak.
"Tiada lagi tempat untuk sesiapa berlindung di sana. Makanan juga tidak mencukupi," katanya yang sudah berpindah-randah lebih lima kali sejak lebih dua tahun lalu.
Rancangan jahat Israel
Pada awal bulan lalu, Ketua IDF, Leftenan Jeneral, Eyal Zamir sewenang-wenangnya menggelar Garisan Kuning itu sebagai 'penanda sempadan baharu' dengan Israel.
"Ia akan berfungsi sebagai garisan pertahanan hadapan dan aktiviti operasi pasukan kami," menurutnya merujuk kepada askar simpanan yang ditempatkan di Gaza.

Bagi Palestin, garisan tersebut jelas alat untuk merampas enklaf tersebut yang akan membawa kepada pemindahan paksa penduduk Gaza.
"Rancangan jahat mereka adalah untuk menakut-nakutkan penduduk Palestin dan mengusir mereka ke kawasan barat," kata Datuk Bandar Khan Yunis, Alaa al-Batta dengan lantang mengecam kempen pengeboman berterusan yang melanggar perjanjian gencatan senjata.
Mahmud Baraka, 45, dari Khuzaa, timur Khan Yunis juga sudah lelah dengan bedilan bertubi-tubi sejak beberapa minggu lalu.
"Kami seperti masih hidup dalam zon perang. Zionis sebenarnya mahu kami keluar dari sini supaya mereka dapat merampas kawasan ini," menurutnya.

Buat masa ini, kebanyakan penduduk berasa terperangkap antara kempen pengeboman dan pelan pemindahan paksa.
Meskipun berdepan situasi tidak menentu, Abdel Hamid, 70, bersama keluarganya enggan berganjak dari rumah mereka di utara Khan Yunis.
"Kami tidak akan ke mana-mana. Ini tanah air kami. Berpindah bukanlah satu penyelesaian sebaliknya hanya akan menjadi satu lagi tragedi," katanya dalam nada hiba. - AFP/ Foto: AFP
Ringkasan AI
- Umm Ahmed cuba menenangkan anaknya yang ketakutan akibat serangan ke atas Khan Yunis oleh rejim Zionis
- Rejim Zionis melancarkan serangan ke kawasan penduduk Palestin, IDF mengaku askar mereka ditempatkan sebagai rangka kerja tempoh bertenang dengan Hamas
- Ribuan penduduk Palestin bimbang dipaksa berpindah ke barat Garisan Kuning
- Ketua IDF, Eyal Zamir, menggelar Garisan Kuning sebagai 'penanda sempadan baharu' sebagai garisan pertahanan hadapan Israel
- Datuk Bandar Khan Yunis, Alaa al-Batta mengecam kempen pengeboman yang melanggar gencatan senjata, sementara penduduk seperti Mahmoud Baraka dan Abdel Hamid merasa terjebak atau enggan berganjak dari tanah air mereka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

