Tiada perlindungan istana terhadap ajaran Qadiani di Selangor - Mohd Shahzihan

Mohd Shahzihan
Mohd Shahzihan
A
A
A

SHAH ALAM – Dakwaan kononnya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sukar mengambil tindakan undang-undang terhadap ajaran Qadiani kerana didakwa dinaungi pihak atasan termasuk institusi istana adalah tidak benar sama sekali.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya merujuk kepada satu rakaman video ceramah yang dimuat naik di platform TikTok pada 8 Disember lalu yang mengaitkan isu ajaran sesat di Selangor dengan pihak tertentu termasuk institusi istana.

Menurutnya, semakan awal mendapati individu yang dipercayai menyampaikan ceramah di Masjid Taman Putra Perdana, Puchong itu memiliki tauliah mengajar agama Islam di Selangor.

“Dakwaan bahawa JAIS sukar mengambil tindakan terhadap ajaran Qadiani kerana dinaungi pihak atasan yang mempunyai hubungan dengan institusi istana adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kenyataan berkenaan juga disifatkan sebagai suatu perbuatan yang menghina Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri, selain mempertikai ketegasan baginda dalam mengekang dan membanteras penyelewengan akidah serta ajaran sesat di negeri ini.

Mohd Shahzihan menjelaskan, kesukaran mengambil tindakan terhadap ajaran Qadiani berlaku kerana ajaran itu telah difatwa terkeluar daripada agama Islam masing-masing pada 24 September 1998 dan 17 Ogos 2000.

“Keputusan fatwa ini memberi kesan kepada bidang kuasa penguatkuasaan JAIS yang hanya boleh menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah terhadap orang Islam selaras Subseksyen 1(2) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya.

Tambah beliau, JAIS juga tidak pernah menerima sebarang aduan atau maklumat mengenai dakwaan wujud individu yang mempunyai kaitan rapat dengan institusi istana menjadi dalang kepada penularan ajaran Qadiani di Selangor.

Sehubungan itu, katanya, Setiausaha Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan meneliti sama ada kenyataan penceramah berkenaan bercanggah dengan ketetapan Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan bahawa JAIS akan terus melaksanakan usaha membanteras ajaran sesat secara berterusan berlandaskan peruntukan undang-undang serta keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dengan mengambil kira fakta, saksi dan keterangan yang sah di sisi undang-undang.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pendakwah, penceramah dan orang ramai supaya menyampaikan fakta secara tepat, beradab dan bertanggungjawab, selain tidak menimbulkan keresahan awam khususnya apabila melibatkan kedudukan institusi istana serta Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

“Sebarang maklumat berkaitan ajaran sesat hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa agama negeri bagi mengelakkan kekeliruan dan fitnah dalam masyarakat,” katanya.

Ringkasan AI

  • Dakwaan bahawa JAIS sukar mengambil tindakan undang-undang terhadap ajaran Qadiani kerana didakwa dinaungi pihak atasan termasuk institusi istana adalah tidak benar
  • Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, menegaskan kenyataan mengaitkan ajaran sesat dengan institusi istana hanyalah tuduhan tidak bertanggungjawab dan menghina Sultan Selangor
  • Kesulitan JAIS dalam menguatkuasakan undang-undang jenayah syariah terhadap pengikut ajaran Qadiani berakar dari fatwa yang menyatakan mereka terkeluar dari agama Islam
  • JAIS tidak pernah menerima aduan tentang kaitan rapat individu dengan institusi istana dengan penularan ajaran Qadiani di Selangor
  • JAIS berkomitmen membanteras ajaran sesat berlandaskan undang-undang dan fatwa, serta mengingatkan pendakwah menyampaikan fakta dengan tepat dan bertanggungjawab

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!