Politik tanpa ihsan adalah politik tanpa arah - Afdlin Shauki

KUALA LUMPUR - Politik yang tidak berteraskan ihsan hanya akan membawa negara ke arah kekeliruan serta perpecahan khususnya ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi dan keletihan politik.
Sambil mengkritik kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berhubung keputusan mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Cabang PKR Setiawangsa, Afdlin Shauki menegaskan bergembira atas musibah orang lain bukan nilai masyarakat dan bukan nilai perjuangan reformasi yang sering dilaungkan.
"Ya, saya mungkin orang baharu dalam politik tetapi saya adalah seorang manusia yang tahu membezakan baik dan buruk, tahu apa itu moral dan adab dan faham bahawa kita hidup dalam sebuah negara yang memerlukan perpaduan, bukan kenyataan yang menambah luka serta perpecahan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Afdlin berkata, isu tersebut perlu dilihat sebagai peringatan tentang batas wajar dalam berpolitik terutama apabila melibatkan keputusan mahkamah dan nasib individu lain.
Menurutnya, negara kini berada dalam fasa yang menuntut kewarasan kepimpinan kerana rakyat sedang berdepan tekanan ekonomi, keresahan sosial serta keletihan terhadap polemik berpanjangan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan setiap kenyataan pemimpin membawa implikasi besar dan boleh mempengaruhi sentimen awam sama ada ke arah ketenangan atau perpecahan.
"Dalam keadaan sebegini, setiap kata-kata pemimpin akan diperhati, ditimbang dan dihakimi," jelas beliau.
Tambahnya, tumpuan politik seharusnya membantu kerajaan memberi perhatian kepada agenda lebih utama termasuk pemulihan ekonomi, kos sara hidup, pembinaan institusi serta usaha memperkukuh perpaduan nasional.
“Malaysia hari ini memerlukan kepimpinan yang waras, beradab dan berjiwa besar.
"Kalau orang lain buat, tidak bermakna kita kena buat! Bila nak game, kalau macam tu?
"Politik tanpa ihsan adalah politik tanpa arah,” katanya.
Terdahulu Bee Yin memuat naik hantaran yang berbunyi "satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini" sejurus Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan permohonan Najib, 72, untuk memaksa kerajaan membenarkan beliau menjalani baki pemenjaraan di rumah.
Hantaran itu kemudiannya menghangatkan suhu politik tanah air apabila beberapa pemimpin UMNO mendesak agar pucuk pimpinan menilai semula kerjasama parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
Ringkasan AI
- Politik tanpa ihsan membawa negara kepada kekeliruan dan perpecahan
- Afdlin Shauki kritik kenyataan Yeo Bee Yin terhadap Najib Razak sebagai tidak mencerminkan nilai masyarakat dan reformasi
- Isu harus dilihat sebagai peringatan tentang batas wajar dalam berpolitik
- Setiap kenyataan pemimpin membawa implikasi besar terhadap sentimen awam
- Malaysia memerlukan kepimpinan yang waras dan beradab untuk menghadapi cabaran ekonomi dan sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

