'Jika tidak mampu zahir simpati jangan kurang ajar' - Pemimpin UMNO

Muhamad Akmal (kiri) dan Asyraf Wajdi merupakan antara pemimpin UMNO yang menyelar tindakan Bee Yin.
Muhamad Akmal (kiri) dan Asyraf Wajdi merupakan antara pemimpin UMNO yang menyelar tindakan Bee Yin.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Ahli Parlimen DAP yang dilihat seperti meraikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diselar oleh beberapa pemimpin UMNO.

“Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini,” tulis Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin dalam hantarannya di Facebook pada Isnin.

Memberikan reaksi kepada hantaran itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengingatkan Bee Yin bahawa apa yang diraikan pemimpin itu sebenarnya ialah parti dianggotainya ditolak secara total di Sabah.

"Apa lagi yang perlu kita tunggu? Tarik sahaja sokongan daripada kerajaan ini. Biar kita jadi pembangkang yang bermaruah daripada dihina puak-puak ini!

"Saya minta semua perwakilan yang akan datang ke PAU (Perhimpunan Agung UMNO) tidak lama lagi, senada dan berani bawa suara rakyat dan akar umbi orang Melayu di bawah ini.

"Biar PAU kali ini sekali lagi digegarkan dengan menjadi medan suara keramat orang Melayu!. Jangan takut, jangan gentar!," tulisnya di Facebook.

Kenyataan itu dibuat oleh Muhamad Akmal susulan hantaran pemimpin DAP terbabit di Facebook, dipercayai merujuk kepada keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching yang menolak permohonan semakan Najib yang juga bekas Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.

Hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Sehubungan itu, Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menasihatkan mana-mana individu supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang kurang ajar atau menyakiti pihak lain.

Beliau menyifatkan kenyataan Bee Yin sebagai amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusian.

"Jika tidak mampu untuk menzahirkan sekelumit perasaan simpati sekalipun, janganlah mengeluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati.

"Apatah lagi yang dihina merupakan bekas pemimpin tertinggi yang amat disayangi seluruh keluarga besar UMNO yang hari ini membantu membentuk Kerajaan Perpaduan," katanya.

Asyraf Wajdi turut berpandangan bahawa mungkin sudah tiba masanya untuk UMNO memperhalusi kembali kerjasama yang terjalin jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan UMNO selama ini.

Selain Muhamad Akmal dan Asyraf Wajdi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii turut meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan pemimpin DAP tersebut.

"Ini kenyataan yang sangat kurang ajar!. Tunggu waktu orang Melayu bersatu melawan kezaliman dan hasutan kamu," tegasnya.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut menegur sikap Bee Yin.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi menyifatkan tindakan wakil rakyat DAP itu tidak wajar kerana meraikan keputusan mahkamah yang melibatkan penderitaan individu lain.

"Mengapa perlu diraikan? Jangan meraikan penderitaan orang lain. Hidup ini ibarat satu kitaran. Ingatlah, pemimpin anda juga tidak terlepas daripada kesilapan,” katanya.

Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid turut tidak bersetuju dengan tindakan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP tersebut.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanafiah pula menyifatkan hantaran Bee Yin sebagai bodoh dan kurang ajar.

"Kenyataan paling kurang ajar dan kurang cerdik dalam bahasa mudah yang difahami. Yeo Bee Yin kamu boleh meraikan akhir tahun ini.

"Kami akan meraikan selepas pilihan raya akan datang. Rakan kami di Sabah telah meraikannya terlebih dahulu, maka kami akan mengikuti mereka nanti," katanya.

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen DAP merayakan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan tahanan rumah Najib Razak
  • Pemimpin UMNO melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Ahli Parlimen DAP
  • Kenyataan Ahli Parlimen DAP dilihat sebagai tidak menghormati dan kurang ajar
  • Pemimpin UMNO mempertimbangkan untuk menarik sokongan daripada kerajaan kerana tindakan tersebut
  • Beberapa pemimpin UMNO termasuk Setiausaha Agung menyarankan supaya tindakan kurang ajar tidak patut dilakukan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!