Polis Bantuan diingatkan jangan salah guna kuasa

KUALA LUMPUR – Anggota Polis Bantuan diingatkan supaya tidak menyalahgunakan kuasa atau melangkaui peranan yang telah ditetapkan kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan kredibiliti pasukan keselamatan serta kepercayaan masyarakat.
Timbalan Pengarah (Operasi Pencegahan/Kordinasi Sumber Sokongan) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap isu penyalahgunaan kuasa termasuk penggunaan anggota Polis Bantuan atau aset di luar skop tugas.
"Tindakan itu bukan sahaja bercanggah dengan peraturan dan arahan yang ditetapkan, malah boleh memberi kesan negatif kepada imej serta kepercayaan orang awam terhadap institusi keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia di sini pada Selasa.
Turut hadir Presiden Persatuan Polis Bantuan, Datuk Asmawati Ahmad.
Nik Ros Azhan berkata, Polis Bantuan diwujudkan bagi menyokong ekosistem keselamatan negara dan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan, bukannya untuk tujuan komersial atau kepentingan pihak tertentu.
"Aspek pematuhan undang-undang, tadbir urus yang baik serta integriti organisasi perlu sentiasa diberi penekanan bagi memastikan operasi Polis Bantuan berjalan secara profesional dan berkesan," katanya.
Ujarnya, Polis Bantuan perlu memastikan semua pelaksanaan tugas selaras dengan peraturan, piawaian serta arahan PDRM bagi mengelakkan salah guna kuasa.
"Peranan Polis Bantuan kini semakin signifikan dalam landskap keselamatan negara yang semakin kompleks dan dinamik.
“Kehadiran Polis Bantuan di premis strategik telah membantu memperkukuhkan tahap keselamatan serta meningkatkan keyakinan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyentuh isu pengisian penjawatan yang perlu diberi perhatian serius dan dirancang secara strategik bagi mengelakkan kekurangan anggota yang boleh menjejaskan kecekapan operasi di lapangan.
"Latihan berterusan dan peningkatan kemahiran anggota juga penting bagi memastikan Polis Bantuan bersedia menghadapi cabaran semasa termasuk ancaman keselamatan siber dan keperluan berinteraksi dengan masyarakat," katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kebajikan dan kesejahteraan anggota tidak boleh dipinggirkan kerana tekanan kerja dan persekitaran tugas yang mencabar boleh memberi kesan terhadap emosi serta prestasi anggota jika tidak diurus dengan baik.
Nik Ros Azhan turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Polis Bantuan Malaysia serta semua pihak yang terlibat atas komitmen dan dedikasi menjayakan persidangan berkenaan.
"Saya berharap segala resolusi dan pandangan yang dibincangkan dapat diterjemahkan secara berkesan demi memperkukuhkan peranan Polis Bantuan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Anggota Polis Bantuan diingatkan supaya tidak menyalahgunakan kuasa
- Penyalahgunaan kuasa boleh menjejaskan kredibiliti pasukan keselamatan dan kepercayaan masyarakat
- Polis Bantuan diwujudkan untuk menyokong ekosistem keselamatan negara dan membantu PDRM
- Kepatuhan, tadbir urus baik dan integriti organisasi penting untuk kelancaran operasi Polis Bantuan
- Latihan berterusan dan peningkatan kemahiran anggota penting untuk menghadapi cabaran semasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
