Hampir setengah juta barangan subsidi Malaysia diselamatkan dari diseleweng ke Thailand

KOTA BHARU - Cubaan licik sindiket penyeludupan untuk melarikan barangan bersubsidi ke Thailand dipatahkan selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan ‘menyelamatkan’ pelbagai barangan kawalan melebihi RM429,000 sepanjang tempoh Januari hingga Isnin.
Kejayaan itu hasil operasi bersepadu yang membawa kepada 220 tangkapan, membabitkan pelbagai modus operandi termasuk penggunaan stor haram, kenderaan diubah suai dan laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, petrol dan diesel kekal sebagai sasaran utama sindiket kerana perbezaan harga ketara, selain minyak masak, gula, tepung gandum serta Gas Petroleum Cecair (LPG) yang sepatutnya dinikmati rakyat tempatan.
“Barangan kawalan ini cuba diseludup secara sistematik untuk keuntungan mudah. Kita tidak akan berkompromi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas di Mydin Tunjong di sini pada Selasa.
Perasmian disempurnakan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Sumber Manusia dan Keusahawanan negeri, Datuk Md Anizam Ab Rahman.
Menuru beliau, sepanjang tempoh itu, 37 kes telah dituduh di mahkamah melibatkan jumlah denda RM216,000, manakala kompaun dikenakan mencecah RM800,050.
Katanya, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat terutama menjelang musim perayaan bagi memastikan ketirisan barangan subsidi dapat dibendung sepenuhnya.
Dalam perkembangan sama, Azman memberitahu, sindiket penyeludupan mula mengubah modus operandi mereka menggunakan jalan laut sejak polis menutup serta merobohkan pangkalan haram yang terdapat di Sungai Golok.
Katanya, maklumat tersebut hasil pemerhatian dan risikan yang dilakukan oleh pihak polis.
Ringkasan AI
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mematahkan cubaan penyeludupan barangan bersubsidi ke Thailand
- Berjaya menyelamatkan pelbagai barangan kawalan bernilai melebihi RM429,000
- Operasi itu mengakibatkan 220 tangkapan dan melibatkan penggunaan stor haram dan kenderaan diubah suai
- Petrol, diesel, minyak masak, gula, tepung gandum, dan LPG menjadi sasaran utama sindiket penyeludupan
- Sindiket penyeludupan mengubah modus operandi menggunakan jalan laut selepas polis menutup pangkalan haram di Sungai Golok
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

