Memastikan kebenaran tidak terkorban

Muhyiddin Yassin.- Foto Bernama
Muhyiddin Yassin.- Foto Bernama
A
A
A

Siapakah yang sebenarnya pertama kali mengungkapkan kata-kata in war (or crisis), the first casualty is truth atau dalam peperangan (atau krisis) korban pertama adalah kebenaran, sukar untuk dinyatakan secara pasti.

Pencarian dalam Google mengkreditkan ungkapan itu kepada dua orang tokoh yang hidup pada dua zaman yang berbeza iaitu purba dan moden. Yang pertama ialah dramatis berbangsa Yunani bernama Acschlyus yang hidup antara 525 hingga 456 Sebelum Masihi. Yang kedua ialah seorang senator Republikan di Amerika Syarikat, Hiram Johnson yang dikatakan menzahirkan ungkapan tersebut pada tahun 1918 selepas tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Tersurat dan tersirat di balik ungkapan tersebut, tidak kira siapa yang mengatakannya adalah apabila berlaku peperangan atau krisis, pihak-pihak yang terbabit berkecenderungan untuk tidak memberi gambaran sepenuhnya tentang apa yang sebenarnya berlaku.

Fakta dan maklumat cuba dimanipulasi bagi tujuan-tujuan strategi atau disembunyikan daripada pengetahuan rakyat dan musuh atas sebab-sebab tertentu.

Sewaktu kita berhadapan dengan pendemik Covid-19 sekarang, yang telahpun diisytiharkan sebagai peperangan dengan musuh yang tidak kelihatan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ada negara yang cuba untuk menyembunyikan kebenaran masalah yang dihadapi pada mulanya.

Di China sendiri, di mana Covid-19 atau koronavirus ini pertama kali dikesan di Wuhan pada Disember 2019, pihak pemerintah pada peringkat awal cuba memberi gambaran yang kebenarannya diragui dengan mengatakan wabak yang dihadapi berada dalam kawalan dan negara itu tidak memerlukan bantuan kepakaran antarabangsa untuk menanganinya.

Di Republik Indonesia pula, Presiden Jokowi mengaku pada peringkat awal beliau mengarahkan pihak Kementerian Kesihatan jangan memberi gambaran sepenuhnya mengenai penularan wabak Covid-19 di negara itu kerana tidak mahu rakyat berasa khuatir.

Justeru, tatkala negara-negara ASEAN yang lain melaporkan Covid-19 sudah sampai ke negara masing-masing, Indonesia melaporkan tidak berlaku jangkitan penyakit yang belum ada penawar itu.

Artikel Berkaitan:

Tetapi kebenaran akhirnya terbongkar. Minggu ini, pihak berkuasa Indonesia melaporkan kematian akibat virus tersebut dan pesakit yang positif Covid-19 meningkat secara mendadak, mengatasi kes kematian yang dicatatkan oleh sebilangan negara jiran yang terlebih dahulu mengisytiharkan terdapatnya wabak itu di negara masing-masing.

Pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin jika mahu juga boleh mengambil sikap untuk tidak bercakap benar mengenai Covid-19 yang menular di negara ini.

Tetapi beliau jelas tidak berhasrat berbuat demikian. Beliau tidak bersedia mengorbankan kebenaran mengenai Covid-19 semata-mata ingin memberi gambaran yang baik-baik kepada rakyat.

Beliau tidak percaya pada ungkapan in war or crisis, the first casualty is truth. Pegangan beliau adalah berterus terang dan nyatakan yang benar supaya rakyat bersedia menghadapi apa-apa juga kemungkinan. Lakukan yang terbaik, tetapi bersedia untuk yang terburuk seolah-olah menjadi motto Muhyiddin.

Di sini, jelas pengalaman 40 tahun dalam kerajaan sebagai timbalan menteri, menteri besar, menteri persekutuan dan akhirnya sebagai timbalan perdana menteri sebelum dipecat digunakan untuk memantapkan etosnya pada kaca mata rakyat sebagai seorang pemimpin yang boleh dipercayai.

Penghujahan logikal atau logos yang beliau gunakan dalam perutusan yang disampaikan kepada rakyat di kaca TV meyakinkan khalayak yang mendengarnya. Dari segi patos, laras bahasa yang digunakan tidak bombastik. Sebaliknya dalam menyampaikan mesej-mesej penting Covid-19, termasuk apa-apa yang beliau mahu rakyat lakukan, Muhyiddin memilih untuk menggunakan bahasa yang mudah difahami kelompok masyarakat yang disasarkan.

Penyampaian yang berbentuk conversational atau perbualan membantu Muhyiddin membina hubungan dengan rakyat. Rakyat menerima beliau sebagai seorang daripada kita – one of us.

Dengan kata lain, dalam rayuan pemujukannya, beliau telah memanfaatkan etos, logos dan patos yang ada pada dirinya ke tahap yang dianggap ideal seperti yang dihuraikan oleh Aristotle lebih 2,500 tahun lalu dalam bukunya, Tekne Retorike.

Walaupun Muhyiddin tidak mempunyai timbalan perdana menteri, tetapi beliau tidak sendirian menghadapi situasi yang pertama kali dialami oleh negara. Seluruh anggota pentadbirannya dan penjawat awam, berada bersama beliau dalam mengharungi masa sukar ini.

Empat menteri kanan dalam Kabinet beliau ditampilkan secara bergilir-gilir untuk membantu beliau sebagai jurucakap kerajaan bagi memberi taklimat harian kepada rakyat mengenai perkembangan semasa pandemik.

Oleh kerana Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob adalah bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan dalam perang terhadap Covid-19, maka penampilan beliau adalah lebih kerap sebagai jurucakap.

Dan Ismail Sabri tidak mensia-siakan peluang yang diberi. Walaupun pada kemunculan kali pertama beliau kelihatan sedikit teragak-agak, tetapi kekekokan itu berjaya diatasi kemudiannya. Beliau tampil sebagai seorang jurucakap yang berkesan.

Tetapi sudah tentu yang mencuri perhatian istimewa adalah peranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebagai jurucakap pakar untuk memberi taklimat kepada rakyat mengenai perkembangan terbaharu Covid-19 secara harian setiap petang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Putrajaya. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Putrajaya. - Foto Bernama

Dan juga melalui Facebooknya jika berlaku kematian atau perkembangan terbaharu yang lain selepas taklimat harian diberikan selesai.

Tugas beliau sebenarnya adalah untuk membawa berita buruk kepada rakyat mengenai perkembangan harian jangkitan Covid-19. Jelas pemilihan beliau untuk tugasan tersebut memang tepat. Etos beliau sebagai seorang profesional perubatan yang berpengetahuan mendalam membantu beliau melaksanakan tugas dengan lancar dan licin.

Kemahiran beliau mengkomunikasi mesej yang diinginkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris membantu beliau menjadi jurubicara yang berkesan. Mesej-mesej yang ingin disampaikan mudah difahami. Malah, kemunculan beliau dinanti-nantikan oleh mereka yang ingin mengikuti perkembangan terbaru wabak Covid-19 setiap petang.

Kepetahan beliau berbicara dan ketangkasan beliau menjawab pertanyaan bertubi-tubi para wartawan sewaktu sesi soal jawab dengan wartawan selepas membaca teks yang disediakan begitu tenang sekali. Beliau bersedia dengan apa juga pertanyaan yang diajukan termasuk yang sukar dan teknikal dan tampil dengan jawapan-jawapan yang memberi pencerahan mengenai wabak Covid-19.

Mesej bahawa Kementerian Kesihatan tidak boleh sendirian berhadapan dengan penularan Covid-19, tetapi sebaliknya memerlukan kerjasama setiap warga pada petang 24 Mac 2020 menangkap imaginasi sehingga ia dijadikan item pertama berita TV pada jam 8 malam hari itu.

Sesungguhnya pendirian pentadiran Muhyiddin berterus terang dan tidak menyembunyikan apa yang benar dalam perang terhadap pandemik Covid-19 ini patut dijadikan sebagai blueprint untuk menangani apa juga krisis yang melanda kita pada masa-masa akan datang.