Reban tinggi selamatkan ayam daripada tenggelam banjir

KUANTAN- Reban bertingkat yang dibina agak tinggi menyelamatkan lebih 100 ayam termasuk ayam hiasan yang diternak pasangan suami isteri dari Kampung Teluk Mahang, di sini dalam kejadian banjir Rabu lalu.
Idawati Abdullah, 43 berkata, suaminya, Mohd Zulkipli Mohd Yunus, 49 sempat memindahkan semua ayam-ayam ke reban tingkat paling tinggi sebelum mereka sekeluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Hampir separuh reban ditenggelami banjir, mujur tingkat paling tinggi masih boleh menempatkan ternakan kami ini.
"Alhamdulillah, hampir semua dapat diselamatkan kecuali beberapa ekor yang mati mungkin disebabkan keadaan reban terlalu sesak ketika itu," katanya ketika ditemui Sinar Harian yang membuat tinjauan pasca banjir di kawasan itu pada Isnin.
Kampung Teluk Mahang yang terletak berhampiran Sungai Belat di sini antara kawasan yang terjejas teruk dalam kejadian banjir baru-baru ini.
Walaupun ayam ternakan mereka selamat, Idawati mendakwa hampir semua barang keperluan rumah termasuk perkakasan elektrik tidak dapat diselamatkan.
"Semua tidak sempat diselamatkan dan rosak ditenggelami banjir.
"Kami sekeluarga seolah-olah terpaksa memulakan kehidupan dari 'zero' kembali," kata suri rumah yang juga ibu kepada tiga anak itu.
Menurutnya, air naik agak cepat memaksa dia dan keluarga keluar menyelamat diri tanpa sempat menyelamatkan harta benda yang ada.
"Pada awal pagi Rabu, kira-kira jam 2 pagi kami dimaklumkan air mulai naik dan dinasihatkan berpindah segera.
"Saya bersama tiga anak berusia 11 hingga 16 tahun menjadi antara yang pertama dari kampung ini berpindah ke PPS di SK Mat Kilau," katanya.
Ujarnya lagi, selepas menghantar anak ke PPS, dia kembali semula ke rumah awal pagi itu untuk membantu suami mengemas.
"Waktu hendak kembali semula ke PPS, air sudah tinggi dan ramai penduduk telah berpindah selepas diarah berbuat demikian," katanya.
Menurut wanita itu, paras air dalam rumahnya hampir mencecah 1.5 meter sewaktu kemuncak banjir baru-baru ini.
"Kami sekeluarga pulang ke rumah pada Ahad selepas air surut sepenuhnya namun ketika itu semua buntu untuk mula berkemas dari mana selepas melihat keadaan rumah yang tunggang-langgang.
"Hari ini baru kami mula basuh dan keringkan barang-barang yang boleh diselamatkan," katanya.
Tambahnya, kerja-kerja membersih rumah begitu memenatkan kerana banjir kali ini agak berlumpur.
Ringkasan AI
- Reban bertingkat menyelamatkan lebih 100 ayam dari banjir di Kampung Teluk Mahang, Kuantan
- Pasangan suami isteri sempat memindahkan ayam ke tingkat atas sebelum berpindah ke pusat pemindahan
- Hampir semua ayam diselamatkan kecuali beberapa yang mati kerana sesak
- Barang keperluan rumah termasuk perkakasan elektrik rosak dan tidak dapat diselamatkan
- Paras air dalam rumah mencapai hampir 1.5 meter sewaktu kemuncak banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

