Tak payah sibuk pasal rumah tangga orang

ZAMAN serba canggih ini, gelagat manusia semakin pelik. Ramai yang mendakwa mereka simpati, tetapi sebenarnya menyibuk kisah masyarakat.
Entah kenapa, kisah dapur orang lain selalunya lebih menarik daripada periuk sendiri yang hampir hangus.
Dengar sedikit kisah terus ditokok jadi cerita panjang, siap dengan versi tambahan yang tak pernah disahkan.
Merak Jalanan perasan, media sosial kini ibarat tingkap besar tanpa langsir. Apa sahaja dipamerkan, dari senyuman bahagia hingga air mata duka.
Ada yang sekadar mendengar separuh cerita mesti menilai, meneka dan akhirnya menghakimi. Rumah tangga orang lain jadi topik perbualan, seolah-olah kita semua pakar kaunseling.
Hakikatnya, rumah tangga bukan pentas drama untuk tontonan umum. Tentunya ada pasang surut dan apa yang kelihatan bahagia di luar belum tentu tenang di dalam... yang dilihat bergelora mungkin sedang berjuang mempertahankan bahtera.
Setiap pasangan ada cerita sendiri, ada luka yang tidak ditunjukkan dan ada usaha yang tidak diceritakan.
Tapi malang apabila mulut terlalu ringan, dari satu meja ke satu kumpulan WhatsApp, kisah rumah tangga orang berpindah tangan, ditambah cerita sehingga hilang fakta.
Kononnya prihatin, hakikatnya mengguris perasaan. Sehingga lupa menjaga aib orang lain itu lebih mulia daripada menyebarkan khabar angin.
Merak Jalanan ingin berpesan, jika tiada niat membantu, lebih baik diam. Jika tidak mampu mendoakan, jangan pula merosakkan. Tak payah sibuk ambil tahu pasal rumah tangga orang.
Hidup ini bukannya lama, ia akan lebih tenang bila kita belajar menjaga batas kerana kebahagiaan sebenar bermula daripada hati yang tidak suka mencampuri urusan yang bukan haknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
