BN tentukan nasib MIC jika masih tiada keputusan - Ahmad Zahid

SEBERANG JAYA - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa gabungan itu akan menentukan nasib MIC sekiranya kepimpinan parti tersebut terus gagal membuat keputusan jelas, sama ada mahu kekal dalam BN atau sebaliknya.
Beliau berkata, perwakilan MIC sebelum ini telah memberikan kuasa penuh kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan, namun sehingga kini pendirian muktamad masih tidak ditentukan.
"Jika kepimpinan semasa tidak mampu membuat keputusan, maka saya ingin tegaskan sekali lagi, sekiranya mereka tidak membuat keputusan, kami akan membuat keputusan.
"Kita tidak mahu keadaan pagi cakap lain, petang cakap lain, esok cakap lain," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Makkal Sakti ke-17 di sini pada Ahad.
Ahmad Zahid berkata, BN turut mengambil maklum kewujudan salinan surat yang tersebar, didakwa ditandatangani kepimpinan MIC berhubung permohonan untuk kembali menyertai Perikatan Nasional (PN), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesetiaan parti berkenaan.
Menurutnya, MCA dan MIC merupakan antara parti yang membentuk pakatan politik sejak sebelum kemerdekaan dan sejarah tersebut perlu dihormati.
"Jika kepimpinan sekarang memutuskan sebaliknya, itu adalah pilihan mereka. Namun BN tidak boleh berada dalam keadaan ketidaktentuan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid menjelaskan kedudukan parti-parti dalam kumpulan Friends of BN termasuk Makkal Sakti yang ketika ini hanya boleh diterima sebagai ahli bersekutu dan bukannya parti teras BN.
Katanya, Perlembagaan BN yang digubal sejak penubuhannya pada 1974 menetapkan hanya empat parti teras iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), selain mewajibkan sebarang pindaan dibuat secara sebulat suara.
"Selagi Perlembagaan BN tidak dipinda, kemasukan parti baharu sebagai parti teras tidak boleh diluluskan," jelasnya.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan BN melakukan penjenamaan semula atau membentuk entiti baharu pada masa hadapan tertakluk kepada keputusan Dewan Tertinggi BN.
"Saya amat menghargai kesetiaan dan kesabaran rakan-rakan dalam Friends of BN untuk terus bersama kami. Apabila tiba masanya, perkara ini akan dimaklumkan kepada presiden-presiden parti terlibat,” katanya.
Mengulas kebimbangan MCA terhadap kerjasama politik dengan DAP, Zahid menegaskan bahawa BN tidak pernah menjalinkan kerjasama secara langsung dengan parti itu, sebaliknya hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
"DAP adalah komponen PH manakala MCA, MIC dan PBRS adalah komponen BN. Kerjasama ini adalah antara BN dan PH, bukan antara parti secara langsung," katanya.
Ringkasan AI
- Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan nasib MIC akan ditentukan oleh BN jika kepimpinan MIC gagal buat keputusan tentang kedudukannya dalam BN
- Kepimpinan MIC diberi kuasa penuh untuk tentukan pendirian namun muktamad belum ditentukan
- BN mempersoalkan kesetiaan MIC berikutan surat permohonan menyertai Perikatan Nasional
- Perlembagaan BN hanya membenarkan UMNO, MCA, MIC, dan PBRS sebagai parti teras tanpa pindaan
- Zahid menegaskan BN tidak menjalinkan kerjasama langsung dengan DAP, hanya melalui PH dalam Kerajaan Perpaduan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

