'Saya tak sanggup lihat Najib terus meringkuk dalam penjara' - Ahmad Zahid

SEBERANG JAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Datuk Seri Najib Razak diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) selepas bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjara sejak tiga tahun lalu.
Zahid berkata, sebagai sahabat sejati, beliau sentiasa mendoakan agar Najib diberikan keampunan pada masa yang sesuai, namun menegaskan kuasa berkenaan merupakan hak mutlak Seri Paduka Baginda.
"Saya dan kita semua tidak sanggup melihat Datuk Seri Najib terus meringkuk di dalam penjara.
"Namun, kuasa mutlak untuk memberi pengampunan adalah hak Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan ia tidak seharusnya dipertikaikan.
"Benar kita berdoa, benar kita mengharap, tetapi jangan mendesak atau memberi tekanan kepada Seri Paduka Baginda. Baginda tahu bila masa yang sesuai untuk membuat keputusan dan apa yang perlu dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Parti Makkal Sakti ke-17 di sini pada Ahad.
Mahkamah Tinggi pada Isnin dijangka memutuskan sama ada Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah atau kekal di Penjara Kajang.
Hakim Datuk Alice Loke dijadual menyampaikan keputusan terhadap semakan kehakiman yang difailkan Najib, 72, bagi memohon menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Tinggi mensabitkan beliau atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.
Dalam kes berprofil tinggi itu, beliau telah melalui semua peringkat rayuan selepas gagal membatalkan sabitan dan hukuman berkenaan.
Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan hukuman penjara asal Najib selama 12 tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta.
Menurut kenyataan itu, Najib dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri berharap Najib Razak diberi pengampunan oleh YDPA
- Zahid Hamidi menyatakan kuasa pengampunan adalah hak mutlak YDPA
- Beliau menegaskan tidak sepatutnya ada tekanan kepada YDPA untuk memberi pengampunan
- Mahkamah Tinggi akan memutuskan status hukuman Najib sama ada tahanan rumah atau kekal di penjara
- Najib menjalani hukuman atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

