Krisis kebuluran di Gaza berakhir

GENTING GAZA - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat mengumumkan krisis kebuluran yang diisytiharkan di Genting Gaza pada Ogos lalu kini sudah reda.
Ia bagaimanapun memberi amaran situasi keselamatan makanan di wilayah itu masih kritikal meskipun aliran bantuan kemanusiaan menunjukkan sedikit peningkatan berbanding sebelum perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober lalu.
"Lebih 70 peratus populasi di enklaf tersebut tinggal di bawah khemah sementara. Hidup mereka bertambah sengsara kerana dilanda banjir musim sejuk yang meningkatkan risiko diserang hipotermia berikutan suhu yang terus menjunam," menurut agensi itu dalam satu kenyataan.
Pengumuman itu dibuat selepas laporan Inisiatif Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) mengesahkan tiada lagi kawasan berdepan krisis kebuluran teruk.
Namun, ia mengubah status tersebut dengan mengklasifikasikan seluruh Gaza berada dalam 'keadaan darurat'.
"Analisis terkini kami menunjukkan peningkatan ketara dalam keselamatan makanan dan nutrisi berbanding data pada Ogos yang mengenal pasti krisis tersebut.
"Tetapi, kira-kira 1.6 juta penduduk masih diancam ketidakjaminan makanan dijangka hingga tempoh 15 April depan. Kawasan berisiko ialah utara Gaza, Deir al-Balah dan Khan Yunis," jelasnya.
Menurutnya lagi, bantuan semasa hanya menangani keperluan hidup yang paling asas dan hanya akses, bekalan serta pembiayaan pada skala besar dapat menghalang krisis kebuluran daripada berulang.
Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan, Oxfam memberi amaran tahap kelaparan di Gaza masih membimbangkan disebabkan sekatan Israel terhadap penghantaran bekalan bantuan kemanusiaan.
"Bantuan dihantar oleh kami termasuk 4,000 bungkusan makanan masih terkandas di kawasan bersempadan Gaza. Pihak berkuasa Israel menolak kesemuanya," kata Pengarah Kempen dan Sokongan Oxfam Perancis, Nicolas Vercken. - AFP
Ringkasan AI
- Krisis kebuluran yang diisytiharkan di Genting Gaza pada Ogos lalu kini sudah reda
- Situasi keselamatan makanan masih kritikal meskipun ada peningkatan bantuan kemanusiaan
- Lebih 70 peratus populasi tinggal di bawah khemah sementara dan menderita kerana banjir musim sejuk
- Genting Gaza diklasifikasikan dalam 'keadaan darurat' walaupun tiada lagi kawasan berdepan krisis kebuluran teruk
- Kira-kira 1.6 juta penduduk masih diancam ketidakjaminan makanan hingga 15 April depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

