Bayi usia 14 bulan derita ketumbuhan belakang mata

IPOH – Seorang ibu hanya mampu menaruh harapan agar anak bongsunya yang kini berusia 14 bulan kembali sihat seperti bayi lain selepas disahkan menghidap ketumbuhan Germ Cell di belakang mata.
Ibu kepada kanak-kanak tersebut, Anis Azwanie Azmi, 29, berkata, penyakit itu mula disedari apabila berlaku perubahan ketara pada wajah anaknya, Firas Affan, khususnya pada bahagian mata kanan yang kelihatan membonjol dan bengkak.
Menurutnya, keadaan kesihatan itu dikesan pada Oktober lalu ketika anaknya berusia setahun, sebelum dibawa ke klinik untuk menjalani pemeriksaan.
“Pada awalnya, dia kelihatan biasa sahaja, aktif seperti biasa dan tidak kerap menangis.
“Namun, mukanya mula berubah terutama pada bahagian kanan, jadi kami membawanya ke klinik sebelum dirujuk ke hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Lahat Baru di sini pada Jumaat.

Anis Azwanie berkata, Firas Affan kini menerima rawatan kemoterapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan telah menjalani dua daripada enam kitaran rawatan yang dijadualkan, dengan kitaran ketiga dijangka bermula hujung bulan ini.
Sementara itu, bapa kanak-kanak berkenaan, Mohd Fauzi Saad, 43, mengakui amat terkesan dengan penyakit yang menimpa anaknya itu.
Dia tidak sanggup melihat penderitaan anaknya yang masih kecil diuji dengan ketumbuhan berkenaan.
Namun, bapa kepada empat anak itu bersyukur kerana proses rawatan yang diterima menunjukkan tanda-tanda positif untuk sembuh.
“Selepas kemoterapi pertama, kami nampak perubahan positif. Doktor juga memaklumkan keadaannya semakin baik dan ada tanda-tanda pemulihan.
“Sebagai seorang bapa, harapan saya cuma satu – saya mahu anak saya pulih dan sihat seperti biasa. Melihat keadaannya sekarang pun saya sudah lega berbanding sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Fauzi yang bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan harian berkata, kos rawatan menjadi cabaran utama keluarganya.
Menurutnya, perbelanjaan rawatan dan pemeriksaan mencecah kira-kira RM1,000 sebulan, selain kos awal pembedahan dan imbasan MRI yang menelan belanja hampir RM500.

“Saya dibayar mengikut hari bekerja. Bila banyak cuti untuk bawa anak ke hospital, pendapatan bulanan terjejas.
“Tapi mujurlah ada bantuan daripada keluarga dan jiran yang prihatin menghulurkan sumbangan,” katanya.
Tambahnya, isterinya merupakan suri rumah sepenuh masa yang menanggung empat orang anak, termasuk tiga daripadanya masih bersekolah.
Mohd Fauzi turut berharap agar ada pihak yang sudi membantu meringankan beban kos rawatan anaknya yang masih perlu menjalani beberapa lagi kitaran kemoterapi serta pemantauan lanjut.
Dia berkata, orang ramai yang ingin membantu atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubunginya di talian 011-11983431.
Ringkasan AI
- Ibu berharap anak bongsunya yang berusia 14 bulan pulih dari ketumbuhan Germ Cell di belakang mata
- Penyakit disedari apabila wajah anak mula berubah, terutama mata kanan yang membonjol
- Firas Affan menjalani kemoterapi dengan dua daripada enam kitaran sudah dilaksanakan
- Keluarga menghadapi cabaran kewangan dengan kos rawatan mencapai RM1,000 sebulan
- Mohd Fauzi, ayahnya, berharap ada pihak yang dapat membantu meringankan beban kos rawatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

